PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada semua pihak terutama badan sukarelawan kemanusiaan yang mengumpul dana bagi rakyat Palestin agar tidak mengambil kesempatan atas kesengsaraan rakyat Palestin ketika ini.

Tegas Anwar, setiap wang dana yang disalurkan perlu diurus dengan bertanggungjawab dan cekap agar dapat disampaikan kepada mangsa di Gaza.

"Saya nak nasihat rakan-rakan di masjid, surau atau orang kutip wang mesti ada pertanggungjawaban. Dia ada peraturan, diurus cekap, jangan ambil kesempatan bina mahligai masing-masing.

"Badan-badan sukarela masing-masing dan membelanjakan begitu tinggi keindahan pejabat padahal dana ini untuk bantuan kemanusiaan," jelasnya.

Tambah Anwar, Malaysia terus komited untuk memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.

Mengulas lanjut jelasnya, Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) berjaya mengumpul RM71 juta daripada sumbangan 46 syarikat bukan kerajaan, swasta dan individu.

Manakala RM10 juta disalurkan oleh kerajaan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.

"Saya nak tegaskan untuk maksud ini, kita kutip kita pastikan ia disalur untuk perubatan, makan minum dan kemudahan asas di Gaza untuk rakyat Palestin terkorban atau terkesan.

"Saya dari pihak kerajaan terharu sambutan diberikan dalam masa singkat, dana awal daripada kerajaan kita dapat kumpul RM80 juta. Akan memenuhi matlamat saya umumkan peringkat awal RM100 juta. Ini menunjukkan keprihatinan terima kasih syarikat kerajaan dan swasta baik Muslim dan bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Kompleks Seri Perdana di sini pada Khamis.

Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alimin serta Duta-duta perwakilan asing.