Skip to main content

Malaysia

Dana rampasan rasuah berbilion ringgit dipulangkan untuk kesihatan, sekolah - PM

Budi Madani Ikhtiar Rakyat -- AWANI
Anwar berkata, pulangan tersebut merupakan manifestasi prinsip tatakelola di mana kekayaan negara yang diselewengkan mesti dikembalikan untuk manfaat masyarakat di peringkat akar umbi.
Advertisement

PUTRAJAYA: Kesemua dana dan aset bernilai berbilion ringgit yang dirampas daripada hasil aktiviti haram serta penyelewengan rasuah melalui proses perundangan, akan dipulangkan terus kepada rakyat, khususnya bagi memperkasa sektor pendidikan dan kesihatan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau, yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pulangan tersebut merupakan manifestasi prinsip tatakelola di mana kekayaan negara yang diselewengkan mesti dikembalikan untuk manfaat masyarakat di peringkat akar umbi.

"Pada hari ini saya isytiharkan, semua dana yang dirampas dari hasil haram melalui proses perundangan dan keputusan kehakiman, semua berbilion ringgit akan dipulangkan terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

"... apa erti kemerdekaan kalau hasil tak dipulangkan kepada mereka? Apa erti kemerdekaan kalau ada anak-anak yang bekerja, tidak ada kesempatan merasai kemewahan yang dikecapi?," tegas beliau ketika menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan ke-69 di sini, hari ini.

Bagi sektor pendidikan, beliau mengumumkan peruntukan penyelenggaraan bagi semua jenis sekolah ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Menurut Perdana Menteri, penambahan itu merangkumi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas, dengan gerak kerja pembaikan prasarana bermula seawal bulan hadapan.

Menyentuh sektor kesihatan awam, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital.

Jelas beliau, inisiatif berkenaan meliputi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik serta capaian internet di 150 hospital awam dan lebih 2,000 klinik kesihatan bagi mempercepat proses rawatan sekali gus mengurangkan masa menunggu pesakit.

Perdana Menteri turut mengumumkan empat lagi ikhtiar segera lain iaitu pengembalian had kelayakan asas subsidi petrol BUDI 95 sehingga 300 liter sebulan, akses percuma modul kecerdasan buatan (AI) selama tiga bulan kepada 100,000 belia, kenaikan ambang pengecualian e-invois perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada RM3 juta, serta penambahan pembiayaan mikro dan pengenalan Geran Sejahtera Madani bernilai RM200 juta.

Kesemua enam inisiatif berkenaan, jelas beliau, akan berkuat kuasa serentak bermula 1 September 2026.

 

Must Watch Video

Advertisement