PASIR MAS: Danau Tok Uban yang terkenal dengan tarikan pelancongan dan peninggalan sejarah terpilih sebagai lokasi pembinaan ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pembinaan ladang solar yang sedang dijalankan itu dapat membekalkan 140,000 megawatt jam (MWh) tenaga eletrik kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kita difahamkan dia sudah dapat tempat lain tapi memilih Kelantan.

"Projek ini satu projek yang besar, saya tengok RM500 juta dan terbesar di Asia Tenggara.

"Ini satu breakthrough kepada projek pembangunan sebab ia projek teknologi baharu solar terapung baharu di tanah air kita," kata Mohd Amar.

Ladang solar yang sedang dibina itu membabitkan 247,830 panel solar di kawasan tasik seluas 40 hektar.

Ia dibangunkan oleh syarikat Cypark Resources Sdn Bhd dengan usahasama salah sebuah anak syarikat kerajaan negeri, Kelantan Utilities Mubaraakan Holdings Sdn Bhd.

Projek berkenaan bernilai RM500 juta dan mampu menampung tenaga elektrik untuk kegunaan hampir 50,000 isi rumah.

Projek solar terapung berkenaan merupakan salah satu projek pembangunan sosio ekonomi negeri yang  turut menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan membuka ruang penyelidikan baharu dalam teknologi solar.