KUALA LUMPUR: DAP bercadang menggunakan lagu Setia untuk menyampaikan mesej positif di sebalik iklim politik semasa yang menyaksikan peningkatan dalam politik perpecahan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, lirik dalam lagu tersebut mencerminkan pembinaan negara yang bersatu padu.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, DAP mahu menggunakan lagu tersebut untuk membawa mesej perpaduan kepada Malaysia.

“Lagu Setia yang dicipta oleh Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat tetap menjadi kegemaran peribadi saya sejak di bangku sekolah apabila ia dimasukkan sebagai sebahagian daripada perhimpunan mingguan.

“Mereka yang membesar pada tahun 1980-an pasti mengenali lagu ini dengan baik dan saya rasa ia antara lagu patriotik terbaik pernah ditulis.


“Liriknya sangat sesuai dan saya fikir ia mencerminkan pembinaan negara yang bersatu padu.

"Saya menugaskan komposer tempatan untuk menyusun semula 'Setia' dan menghabiskan beberapa jam di studio rakaman bersama ahli parlimen DAP lain termasuk Hannah Yeoh, Steven Sim Chee Keong, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman menghasilkan ‘Kitalah Malaysia - Setia (2023)’," katanya menerusi status dimuat naik di Facebook pada Khamis.

Dalam status tersebut, Loke turut berkongsikan berita memaparkan wajah Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan tajuk: “Legasi ayah saya terus hidup dalam lagu Setia”.

Nur Jazlan sebelum itu menggesa DAP menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” daripada perlembagaan parti itu andai mahu mendapat sokongan orang Melayu.

Beliau mendakwa, pengundi Melayu di Selangor dan Johor memberitahunya, mereka tidak dapat menerima pendirian politik DAP, yang didakwa dibuat berdasarkan kepentingan masyarakat Cina.