DAP Selangor menentang sekeras-kerasnya sebarang langkah oleh PAS, rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, membentang rang undang-undang persendirian di Parlimen untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata, partinya telah menegaskan berkali-kali bahawa sebarang langkah untuk memperkenalkan hudud adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam kes Che Omar Che Soh, Mahkamah Persekutuan menegaskan Malaysia ditadbir mengikut undang-undang sekular. Ini jelas, dalam konteks ini, sebarang langkah untuk memperkenalkan undang-undang Islam akan bertentangan dengan Perlembagaan dan bertentangan dengan undang-undang.

"PAS perlu diingatkan bahawa hudud bukan sebahagian daripada agenda Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan dalam kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang ditandatangani pada tahun 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gobind juga menegaskan bahawa DAP tetap dengan pendirian bahawa hudud tidak sesuai di Malaysia kerana ini negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama.

"Pendirian yang diambil oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, YB Karpal Singh mencerminkan pendirian rasmi DAP mengenai perkara ini," tambah beliau.

Katanya, mesyuarat DAP Selangor pada 3 April lalu sebulat suara menyokong pendirian menolak usaha yang cuba di bawa PAS.

Sebelum ini akhbar The Star melaporkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Nasrudin Hasan memberitahu, Presiden parti Islam itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Parlimen pada sesi akan datang.

Nasrudin berkata PAS akan tetap membentangkan rang undang-undang persendirian itu selagi tidak mendapat bantahan rasmi daripada rakan mereka dalam Pakatan Rakyat.

"Sehingga kini, kami hanya mengetahui bantahan mereka melalui media tetapi kami tidak menerima bantahan rasmi. Jika ada bantahan rasmi kami akan bincangkan," Nasrudin dipetik sebagai berkata oleh The Star.

Baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob berkata kerajaan pimpinannya sedang menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi bagi membuka jalan ke arah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam hudud dan qisas di negeri itu selewat-lewatnya pada tahun depan.