DAP telah tidak berupaya menyelesaikan banyak isu dihadapi rakyat, dan ini termasuk pendidikan Cina, kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Parti pembangkang itu juga secara berterusan tidak konsisten dalam pendiriannya berhubung banyak isu, katanya dan menambah Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hanya pandai bercakap kosong dan mempolitikkan isu untuk memenuhi agenda mereka.

"Cara beliau (Lim) menonjolkan dirinya adalah untuk membuatkan MCA kelihatan bodoh bagi memancing undi tetapi, realitinya, beliau sentiasa cemburukan MCA yang berupaya menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan pendidikan Cina," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-53 Pemuda MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.

Wee berkata sejak DAP mengambil alih pentadbiran kerajaan Pulau Pinang pada 2008, ia telah memperjudikan bukan sahaja masa depan negeri itu tetapi juga kehidupan rakyat.

Memberikan contoh kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah bulan lepas yang meragut 11 nyawa, beliau berkata DAP sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan agenda politik mereka dan akan menonjolkan diri mereka sebagai orang 'alim' yang tidak pernah melakukan kesilapan.

"Mereka (kerajaan negeri pimpinan DAP) sentiasa meletakkan kesalahan dan tanggungjawab itu kepada kerajaan negeri sebelumnya dan dalam kes ini (tanah runtuh), mereka mengaitkannya dengan Kolej Tunku Abdul Rahman (TARC) yang terletak berdekatan dengan kawasan tragedi itu," katanya.

Beliau turut berikrar bahawa MCA akan berjuang habis-habisan dalam pilihan raya umum akan datang untuk memenangi lebih banyak kerusi, sambil menambah di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pelbagai dasar pembangunan dan transformasi yang inklusif dan memanfaatkan semua komuniti.

Wee turut menggesa anggota Pemuda MCA untuk lebih pragmatik dan praktikal dalam usaha mendekati generasi muda di negara ini serta membantu memperkasakan mereka dari segi ekonomi, seperti digariskan dalam 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi MCA yang dilancarkan pada 2015.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon berkata pentadbiran BN telah menggariskan hala tuju dan masa depan yang baik untuk rakyat Malaysia.

Memberikan contoh Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) dan Transformasi Negara 2050 (TN50), Chong yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, semua itu adalah contoh sempurna pelbagai inisiatif kerajaan dalam usaha memperkasakan generasi akan datang di era digital.

-- BERNAMA