KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tenaga (ST) menggesa semua pihak agar mendapatkan khidmat dan nasihat berkenaan keselamatan, penyelenggaraan, pembaikan serta pemasangan elektrik daripada pihak yang ditauliah suruhanjaya itu sahaja.

ST dalam kenyataan semalam memaklumkan ia bagi menjamin keselamatan orang ramai kerana pihak ditauliah suruhanjaya itu adalah pemegang perakuan kekompetenan daripada ST, pemegang lesen awam dan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.

Suruhanjaya itu menjelaskan bagi mendapatkan perakuan kekompetenan daripada ST, calon berkenaan perlu melalui peperiksaan teori, praktikal dan lisan bagi memastikan kefahaman serta tatacara pengendalian elektrik yang betul dan selamat.

Menurut kenyataan itu, pemegang lesen awam dan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST juga perlu mengambil orang kompeten sepenuh masa yang berkaitan dan berdaftar dengan ST.

"Ini (dapatkan khidmat pihak terbabit) sekali gus akan menjamin keselamatan orang ramai apabila menggunakan khidmat atau nasihat daripada mereka," demikian menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu menurut ST, orang ramai boleh menyemak dan meminta pihak berkenaan menunjukkan Sijil Kompeten ST atau Kad Pendaftaran Orang Kompeten (CPIC) sebelum membuat sebarang lantikan dalam menjalankan sebarang kerja elektrik sebagai langkah mengenali pemegang perakuan kekompetenan ST.

Jelas suruhanjaya itu, CPIC diberi kepada orang kompeten yang bekerja dengan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST bagi membuat kerja-kerja elektrik.

"Orang ramai juga boleh mengimbas Kod QR yang terdapat pada kad tersebut bagi memastikan data yang diberikan bersamaan dengan data pada kad.

"Selain itu, laman web ST (www.st.gov.my) juga ada memaparkan senarai kontraktor dan orang kompeten yang berdaftar dengan ST yang boleh dirujuk oleh orang ramai," demikian menurut kenyataan tersebut.

Sekiranya mempunyai aduan berkenaan perkara tersebut, orang ramai boleh menyalurkan segera aduan ke sistem aduan ST (eAduan) yang boleh dicapai menerusi laman web yang sama atau melalui talian 03-8870 8800 atau e-mel ke [email protected].

-- BERNAMA