KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) menggesa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) meneliti semula kebimbangan yang dibangkitkan berhubung keadaan tiga ekor gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Presidennya, Rajesh Nagarajan berkata, gesaan itu dibuat susulan penilaian pakar bebas, Dr W. Keith Lindsay terhadap rakaman video ketiga-tiga gajah berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.
Menurut PEKA, penilaian Lindsay mendapati terdapat tingkah laku berulang seperti berjalan mundar-mandir, menghayun dan menggoyangkan badan yang didakwa sebagai antara tanda ‘zoochosis’.
Ia merujuk kepada tindak balas tekanan yang boleh berlaku terhadap haiwan liar dalam kurungan apabila persekitarannya tidak memenuhi keperluan.
PEKA berkata, Lindsay yang meneliti rakaman video selama beberapa bulan mendapati tanda tekanan psikologi yang berterusan dan semakin buruk dalam kalangan ketiga-tiga gajah itu.
“Ini bukan penilaian terpencil berdasarkan satu rakaman video. Ia merupakan dapatan berdasarkan corak yang didokumentasikan dengan punca yang dijelaskan dengan jelas,” menurut kenyataan itu hari ini.
Bagaimanapun, dapatan berkenaan merupakan penilaian berdasarkan rakaman video dan berbeza dengan pendirian MPT sebelum ini mengenai keadaan gajah terbabit.
Pada 8 Ogos lalu, MPT dilaporkan berkata bahawa kebimbangan yang dibangkitkan mengenai keadaan Amoi adalah tidak benar.
PEKA bagaimanapun berpandangan jadual pemakanan dan rekod berat badan sahaja tidak memberikan gambaran menyeluruh sekiranya tekanan dari aspek tingkah laku yang didokumentasikan tidak turut diberikan perhatian.
“Persoalan yang perlu dijawab kepada orang ramai adalah atas asas apakah MPT terus mempertahankan pendirian yang menurut bukti dikemukakan, tidak disokong?” katanya lagi.
PEKA turut memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan semua saluran undang-undang yang tersedia bagi mendapatkan respons MPT berhubung bukti yang dikemukakan.
Lindsay turut berpandangan, Zoo Tennoji bukan persekitaran sesuai untuk ketiga-tiga gajah itu dan mendakwa setiap hari yang berlalu meningkatkan risiko kesan psikologi berpanjangan terhadap haiwan berkenaan.
Susulan itu, PEKA menggesa MPT membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia bagi tujuan pemulihan di fasiliti bertauliah yang sesuai, termasuk Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah.