Skip to main content

Malaysia

Dari sawit ke lemon: Transformasi agro-komersial KUAF pecah tradisi pertanian FELDA

KLUANG, 4 Julai -- Penyelia Ladang Lemon Koperasi Usaha Anak Felda Berhad (KUAF), Asrafi Muhajir, 51, memetik buah lemon yang sudah matang di ladang lemon KUAF, Felda Ayer Hitam baru-baru ini.  KUAF bertindak sebagai strategi serampang dua mata dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan nasional sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pasaran import.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Asrafi memetik buah lemon yang sudah matang di ladang lemon KUAF, Felda Ayer Hitam baru-baru ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KLUANG: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kini menyaksikan transformasi ekonomi apabila peralihan daripada monokultur kelapa sawit kepada tanaman lemon di FELDA Ayer Hitam membuktikan potensi besar dalam menjana pulangan agrokomersial.

Inisiatif diterajui Koperasi Usaha Anak Felda Berhad (KUAF) itu bukan sahaja memecahkan amalan pertanian konvensional, malah menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap import buah sitrus.

Pengerusi KUAF Alizan Amin, 51, berkata projek berkenaan bermula pada 2020 sebagai usaha mempelbagaikan sumber pendapatan susulan kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Kami bermula dengan hanya 10 anak pokok lemon sebelum dikembangkan secara berfasa sehingga melebihi 1,000 pokok kini di kawasan seluas 1.82 hektar,” katanya ketika ditemui Bernama di FELDA Ayer Hitam.

Beliau berkata lemon dipilih kerana nilai pasaran yang tinggi serta potensi diproses kepada pelbagai produk hiliran termasuk jus, sabun, pewangi, minyak urut dan produk kesihatan, yang menawarkan pulangan lebih stabil berbanding tanaman kontan lain.

KUAF turut menerima sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui peruntukan RM200,000 tahun lepas bagi pembinaan kilang pemprosesan dan pembelian peralatan kritikal.

Dengan tambahan modal peribadi RM50,000, KUAF kini menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 botol jus lemon sebulan selain hampir 1,000 unit lemon kering.

Produk hiliran termasuk minyak aromaterapi yang dijual antara RM4 hingga RM49 itu semakin mendapat sambutan di pasaran tempatan, sekali gus menjamin aliran pendapatan lebih stabil kepada koperasi.

Alizan berkata KUAF turut mengamalkan konsep pertanian kontrak bagi mengawal rantaian bekalan serta melindungi pengusaha tempatan daripada manipulasi harga.

“Kami membeli semula buah pada harga lantai sekitar RM1 mengikut saiz dan gred. Ini memastikan pengusaha tidak terkesan dengan permainan harga orang tengah,” katanya.

Dalam pada itu, KUAF menyasarkan dana tambahan RM100,000 bagi membina fasiliti bilik sejuk dan mesin pengekstrak minyak pati sebagai persediaan menembusi pasaran eksport.

“Ketiadaan bilik sejuk menjadi kekangan kerana lemon mudah rosak jika tidak diproses segera. Kemudahan ini penting untuk memanjangkan jangka hayat produk bagi pasaran lebih jauh,” katanya.

Beliau optimis FELD Ayer Hitam mampu muncul sebagai hab agropelancongan dan ikon baharu daerah Kluang, setanding produk ikonik lain di Johor.

“Jika Pontian terkenal dengan nanas dan Mersing dengan tenusu, tidak mustahil lemon menjadi tanaman ikonik di Kluang,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Ladang Lemon KUAF, Asrafi Muhajir, 51, berkata pada peringkat awal projek itu dianggap mustahil memandangkan keadaan tanah FELDA yang keras dan berbatu.

“Ramai menyifatkan kami ‘gila’ kerana tanah tidak sesuai. Namun kami melakukan pengubahsuaian dengan menggantikan medium tanah kepada tanah organik kaya nutrien,” katanya.

Beliau berkata sifat semula jadi pokok lemon yang tahan penyakit dan serangan haiwan turut menjadi kelebihan, selain mampu mengeluarkan hasil sepanjang tahun.

“Lemon bukan tanaman bermusim dan lebih berdaya tahan, menjadikannya komoditi alternatif yang sangat berpotensi,” katanya.

Beliau berkata KUAF kini memberi tumpuan kepada pengukuhan pasaran domestik sebelum merancang untuk menembusi pasaran eksport.

KUAF turut mengambil pendekatan tidak bersaing di platform e-dagang secara langsung seperti Shopee atau TikTok Live,  sebaliknya membuka ruang kepada ejen tempatan bagi memperluas rangkaian jualan.

Langkah itu turut menyumbang kepada pengiktirafan Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Meskipun kini berjaya merekodkan hasil tuaian mencecah 1.8 tan atau 18,000 biji buah setahun, perjalanan mencabar KUAF sebenarnya bermula dengan skeptisisme masyarakat setempat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement