Skip to main content

Malaysia

Daripada hobi menjahit, raih pendapatan dengan busana patriotik

KUALA KRAI, 22 Ogos -- Aimi Aidora Ramli, 47, menghias pakaian kanak-kanak bertemakan patriotik sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) ketika ditemui BERNAMA di premisnya di Bandar Kuala Krai baru-baru ini.  Bermula sebagai hobi, kreativitinya menjahit pakaian kanak-kanak bertemakan patriotik dengan menggabungkan empat warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, kuning dan biru, akhirnya menghasilkan pendapatan.  Kini koleksi busananya ditambah dengan pakaian tradisional pelbagai kaum itu yang mendap
Aimi Aidora menghias pakaian kanak-kanak bertemakan patriotik sempena HKHM ketika ditemui di premisnya di Bandar Kuala Krai baru-baru ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA KRAI: Bermula sebagai hobi, kreativiti Aimi Aidora Ramli, 47, menjahit pakaian kanak-kanak bertemakan patriotik dengan menggabungkan empat warna Jalur Gemilang iaitu merah, putih, kuning dan biru, akhirnya menghasilkan pendapatan.

Kini koleksi busananya ditambah dengan pakaian tradisional pelbagai kaum itu yang mendapat sambutan menggalakkan, terutama daripada ibu bapa yang mahu anak mereka tampil dengan pakaian unik pada pertandingan dan program sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Aimi Aidora berkata tahun lepas dia hanya menghasilkan beberapa pasang pakaian bertemakan patriotik, tetapi tahun ini 12 pasang pakaian tradisional wanita serta tiga pasang pakaian lelaki daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India berjaya disiapkan.

“Mulanya saya hanya menjahit pakaian kanak-kanak menggunakan warna Jalur Gemilang sebagai hobi, tetapi setelah mendapat maklum balas positif daripada pelanggan, saya tambah dengan koleksi pakaian tradisional pelbagai kaum bagi memberi lebih banyak pilihan.

“Minat yang mendalam terhadap dunia jahitan serta keinginan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan kanak-kanak menjadi pendorong utama saya menghasilkan pakaian bertemakan kemerdekaan ini,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Aimi Aidora berkata koleksi busana berkenaan bukan sahaja memenuhi permintaan pelanggan, malah menjadi medium mengetengahkan kepelbagaian budaya dan simbol perpaduan masyarakat Malaysia, khususnya ketika sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).

“Saya mula terfikir untuk mengembangkan lagi perniagaan ini kerana di Kuala Krai agak sukar untuk orang ramai mendapatkan pakaian sewaan bertemakan seperti retro dan patriotik.

“Selain mengekalkan pakaian sewaan yang sedia ada, saya juga menjahit pakaian mengikut tempahan pelanggan dengan harga sekitar RM45 hingga RM65 termasuk aksesori, bergantung kepada corak dan jenis rekaan yang dipilih,” katanya.

Dia yang turut mengambil tempahan gubahan bunga untuk dulang hantaran berkata setakat ini banyak menerima tempahan daripada pelajar yang mahu mengenakan pakaian berkenaan sempena sambutan Hari Kebangsaan di sekolah.

Aimi Aidora berkata permintaan dijangka terus meningkat hingga pertengahan September ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement