KUALA LUMPUR:Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terbubar secara automatik pada Jun depan.

Ini bermakna Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) perlu diadakan selewatnya-lewatnya pada awal bulan Ogos.

Bagaimanapun, pengisytiharan Proklamasi Darurat seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menidakkan kemungkinan ia diadakan dalam tempoh ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan, beliau sebenarnya telah merancang agar PRN-12 diadakan pada tahun lepas.

Bagaimanapun situasi pandemik COVID-19 menghalang beliau untuk meneruskan hasrat itu.

“Pilihan Raya Negeri sebenarnya telah dirancang oleh saya untuk diadakan pada tahun lepas.

“Namun kita memilih untuk menangguhkannya memandangkan keadaan tidak mengizinkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2021.

Tegasnya lagi, kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sarawak menjadi keutamaan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbanding perkara lain.

Pada masa sama, beliau yang juga Pengerusi GPS berkata, gabungan itu menaruh sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong supaya PRN-12 boleh diadakan mengikut lunas-lunas Perlembangaan Negeri tanpa menjejaskan keselamatan rakyat.