Acara ‘Das Event’ anjuran Volkswagen baru-baru ini menjadi satu tapak di mana Volkswagen Malaysia mengumumkan segala usaha yang dilakukan mereka bagi memacu jenama ini ke aras yang lebih tinggi. Yang paling penting untuk diberi perhatian adalah tema baharu mereka: ‘Sentiasa di Sisi Anda’.
Apa yang ingin dibawa oleh tema ini adalah kesungguhan Volkswagen untuk menambah baik pengalaman pemilikan dan jenama dalam kalangan para pelanggannya di Malaysia. Seperti yang mungkin ramai ketahui, ada pelbagai cerita-cerita kurang menarik mengenai kenderaan VW, terutamanya berkenaan kotak gear DSG 7-kelajuan, serta mutu perkidmatan di pusat servis.
Oleh itu, VW Malaysia sudah melakukan beberapa langkah yang direka untuk memperbaikinya. Antaranya adalah:
- Pelaburan lebih RM20 juta bagi aspek latihan dan pembangunan bakat-bakat tempatan.
- Latihan melibatkan 100 orang juruteknik yang baru dilantik.
- Perkhidmatan Concierge – Bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan pembantu yang profesional dan terbaik kepada para pelanggan di pengedar-pengedar sah terpilih.
- Membawa 10 pakar Volkswagen daripada negara Jerman untuk memberi latihan dan pemindahan kepakaran kepada pekerja teknikal tempatan.
- Penubuhan tiga Pusat Kecekapan Teknikal – Kemudahan yang canggih ini akan menyediakan latihan terkini dalam semua bidang untuk melengkapkan kakitangan teknikal dengan set kemahiran dan kepakaran terbaik.
- Pusat Alat Ganti Volkswagen – Sebuah pusat alat ganti akan dibuka di Malaysia untuk mengurangkan tempoh penghantaran dan menunggu alat ganti.
- Menambah kapasiti servis sebanyak 30%
- Mewujudkan program jaminan mobiliti serta kereta ganti kepada pelanggan.
Di samping itu, Volkswagen turut mempamerkan beberapa model kenderaan terbaharu mereka, termasuk:
Passat (generasi ke-8)
Ini kali pertama model generasi terbaharu ini menjejakkan tayar di benua Asia setelah diperkenalkan buat pertama kali di pameran kereta Paris 2014. Sejak mula-mula dijual pada tahun 1978, model Passat telah mencatat penjualan sebanyak 22 juta unit, sekaligus menjadikan ia antara kereta Volkswagen yang paling laris.
Sedan eksekutif ini menawarkan pelbagai sistem bantuan pemandu, infotaimen serta keselesaan terkini yang menjadikan aspek mobiliti lebih selamat, mapan dan saling berhubung.
Volkswagen Passat yang dijual sekarang oleh VGM dipasang secara CKD di kilang DRB-HICOM, Pekan.
Golf GTE
Secara ringkasnya, ini mungkin kereta yang bakal menarik paling banyak perhatian jika perancangan untuk menjualnya di Malaysia pada tahun 2015 menjadi kenyataan. Kenapa tidak? Ini adalah sebuah kereta yang dilengkapi prestasi Golf GTI, tetapi juga mampu untuk bebas daripada pencemaran apabila di dalam mod elektrik (E-mode).
Ia juga tidak memerlukan keperluan infrastuktur yang khusus – proses mengecas boleh dilakukan sekadar menggunakan soket elektrik biasa. Cas penuh dikatakan dapat dibuat dalam masa 4 jam.
Golf GTE ini memecut daripada 0km/j hingga 100km/j dalam masa 7.6 saat. Penggunaan petrol dikatakan serendah 1.5 liter bagi setiap 100km; dengan jumlah jarak pemanduan sejauh 939 kilometer di dalam mod hibrid.
e-UP!
Satu interpretasi ideal tentang misi perlindungan alam sekitar oleh Volkswagen melalui tiga “indikator sifar”. Menawarkan sifar emisi, sifar penggunaan bahan api dan sifar bunyi bising, kereta elektrik termaju Volkswagen ini mampu menyediakan tork sebanyak 210Nm dan perjalanan yang berterusan sehingga sejauh 157km dengan sekali cas penuh. Menjadi penyelesaian baharu buat masalah trafik di kawasan urban, e-Up! menawarkan reka bentuk yang futuristik, versatil dan sangat mesra alam kepada para pengguna dari semua peringkat umur.
Di dalam acara yang sama juga, Armin Keller, selaku pengarah urusan VGM (gambar di bawah) mengumumkan bahawa cara melabelkan varian model-model baharu yang akan diperkenalkan akan berdasarkan tork yang dihasilkan enjin yang digunakan.