Skip to main content

Malaysia

Dasar yang baik perlu ambil kira realiti kehidupan rakyat - Amirudin

BANGI, 10 Ogos -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian 'Human Ecology International Conference II (HEIC II) 2026' hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata dasar kerajaan perlu mengambil kira cabaran yang saling berkaitan yang dihadapi individu, keluarga dan masyarakat, bukannya menangani setiap isu secara berasingan. - Foto BERNAMA
Advertisement

BANGI: Dasar yang baik tidak seharusnya menangani masalah secara berasingan, sebaliknya perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat yang saling berkaitan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata dasar kerajaan perlu mengambil kira cabaran yang saling berkaitan yang dihadapi individu, keluarga dan masyarakat, bukannya menangani setiap isu secara berasingan.

“Justeru, dasar yang baik perlu beralih daripada menangani masalah secara berasingan kepada pendekatan yang saling berkaitan serta memberi tumpuan kepada kesan sebenar terhadap kesejahteraan  manusia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia II 2026 (HEIC II 2026) di sini, hari ini.

Amirudin berkata masyarakat tidak menganggap penjagaan kesihatan, penjagaan anak, pengangkutan, pekerjaan dan kos sara hidup sebagai isu yang berasingan, sebaliknya perkara ini saling berkaitan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata keluarga pada masa ini berdepan peningkatan kos, perjalanan pergi dan balik yang jauh, tuntutan penjagaan, perubahan corak pekerjaan, kekangan perumahan dan perubahan teknologi yang pesat.

“Persoalan penting bagi kerajaan bukan hanya sesebuah keluarga mampu menghadapi cabaran, tetapi sama ada keadaan sekeliling membantu keluarga itu untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Amirudin berkata universiti juga perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam setiap peringkat penggubalan dasar, daripada mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian hingga menilai keberkesanan dasar yang dilaksanakan.

Sementara itu, Amirudin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Putra Malaysia dan University of the Philippines Los Banos, disusuli pengumuman inisiatif penubuhan Konsortium Ekologi Manusia ASEAN.

Inisiatif itu bertujuan menyediakan platform serantau untuk menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan, pertukaran pelajar dan tenaga akademik, penerbitan, perbincangan dasar, kerjasama akademik serta penglibatan masyarakat antara institusi Ekologi Manusia di seluruh ASEAN.

Bertemakan Melestari Kesejahteraan Insan, HEIC II 2026 menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal, pembuat dasar, pemimpin institusi, pelajar dan wakil masyarakat dari Malaysia, Indonesia, Filipina serta negara lain bagi meneliti cabaran semasa yang mempengaruhi kesejahteraan manusia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement