Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz bertekad untuk menyusun semula beberapa jabatan di dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana ada tugas-tugas yang bertindih sesama jabatan.

Beliau berkata beberapa jabatan akan disatukan bagi menjadikan DBKL sebuah organisasi yang lebih efisyen pada masa akan datang.

"Umpamanya dua Jabatan Pengangkutan Bandar dan Jabatan Kerja Awam telah dicantumkan dan ia akan menumpukan tugas-tugas atau kerja-kerja kejuruteraan awam.

"Begitu juga dari segi Perancangan dan Perancangan Fizikal ada saling kait-mengait. Selepas kerajan meneliti semula sesuai dicantum semula dan kini lebih tertumpu kepada bidang Perancangan Bandar dan Penstrukturan Kuala Lumpur. Jadi ia akan berada di bawah satu bumbung dan ia akan lebih selaras," kata beliau pada sidang media Majlis Perlantikan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ke-11 di Dataran DBKL hari ini.

Antara yang hadir pada majlir tersebut adalah Jawatankuasa Tertinggi DBKL dan staf.

Mohd Amin merupakan Datuk Bandar yang ke-11 bagi tempoh lima tahun sehingga 2020. Beliau mengambil alih tugas daripada Tan Sri Phesal Talib.


Selain itu, beliau berkata beberapa jabatan lain akan dipermantapkan lagi.

Mohd Amin juga memaklumkan jawatan Ketua Pengarah DBKL dan Datuk Bandar kini adalah satu dan beliau sebagai Datuk Bandar turut akan memikul tugas-tugas Ketua Pengarah.

Menurutnya, antara isu yang masih menjadi masalah utama kepada penduduk Kuala Lumpur ketika ini adalah seperti isu iklan haram, kesesakan lalu-lintas, warga asing, perumahan dan sebagainya.

"Isu-isu ini masih belum diselesaikan pada masa lepas dan sebelum kami buat pelan jangka pendek, biar dahulu isu-isu ini selesai. Kami ingin fokuskan kepada masalah-masala ini terlebih dahulu," katanya.

Beliau turut menjelaskan, peruntukan RM4 bilion yang diberi kerajaan kepada DBKL akan digunakan bagi menceriakan bandaraya Kuala Lumpur.

"Peruntukan ini bakal digunakan untuk menceriakan Bandaraya Kuala Lumpur dan akan laksanakan semua program merangkumi projek melibatkan bangunan, jalan-jalan, taman-taman awam, jejantas dan lain-lain lagi," katanya.

Mohd Amin turut memaklumkan pihak DBKL akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain seperti polis, imigresen, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan lain-lain lagi bagi menangani beberapa isu berkaitan jenayah dan keselamatan orang awam.

Beliau juga berharap penduduk Kuala Lumpur beri kerjasama yang baik kepada pihak DBKL dalam menyelesaikan isu-isu berkenaan sekaligus menjadikan ibu negara bandararaya yang selamat, bersih dan ceria.