SHAH ALAM: Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Isnin.

Zamani mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak mempunyai sebarang maklumat tentang serbuan yang dibuat oleh pihak SPRM ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

"Dari segi itu (serbuan SPRM), ya memang betul. Tapi kita tidak mempunyai laporan penuh apa sebenarnya isu (yang berlaku).

"Kalau ikut nak kata serbuan atau lawatan itu kena tanya SPRM kerana apabila dia masuk, mereka minta fail (dokumen), kita beri kerjasama, kita beri sahaja apa yang mereka nak lihat.

"Kita cuma tunggu sahaja laporan (daripada SPRM), isu apa dan sebagainya kita tidak dapat (gambaran) yang lengkap," katanya.

Dalam pada itu, Zamani berkata, kenyataan daripada pihaknya hanya akan dikeluarkan selepas agensi berkenaan mendapat laporan penuh daripada SPRM.

"Kita tidak akan keluarkan sebarang kenyataan selagi tidak dapat laporan penuh daripada SPRM kerana kita tidak mahu ia memberi impak yang buruk," katanya.

Media sebelum ini melaporkan salah seorang wakil rakyat PKR yang enggan dikenali mengatakan bahawa serbuan yang dibuat oleh oleh SPRM dipercayai mempunyai kaitan dengan projek tebatan banjir. - Sinar Harian