PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" dan dua anaknya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga India yang mayatnya ditemukan di dalam guni, awal bulan ini.

V. Nanta Kumar, 51, serta dua anak lelakinya Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas mencederakan kerani kewangan A. Vinayagamoorthy, 41, sehingga menyebabkan kematian mangsa di tapak besi buruk di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini pada 1.30 tengah hari, 4 Ogos lepas.

Tiga beranak itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon kepada mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh.

Peguam Datuk Suraj Singh bagaimanapun memohon supaya jaminan dibenarkan atas alasan ketiga-tiga anak guamnya mempunyai masalah kesihatan serta menanggung keluarga.

"Saya mohon mahkamah membenarkan jaminan dan tidak membantah sekiranya mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu pasport tiga anak guam saya diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berdekatan.

"Walaupun kesalahan ini tidak boleh dijamin, mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan," katanya yang turut dibantu peguam Kailash Sharma.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di balai polis berdekatan dan menetapkan 19 Sept ini untuk sebutan kes.

Bernama sebelum ini melaporkan mayat seorang lelaki ditemukan di lokasi kejadian dipercayai dibunuh sebelum dimasukkan ke dalam satu guni plastik berwarna putih.

-- BERNAMA