Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa ditahan polis hari ini untuk siasatan mengikut Akta Hasutan.

Husam di dalam laman twitternya memberitahu beliau ditahan di Desa Pandan, Ampang oleh polis Bukit Aman dan dibawa ke Balai Polis Ampang.

"Akan dibawa ke Kelantan untuk siasat bawah Akta Hasutan," katanya.

Pemangku Ketua Polis Selangor A. Thaiveegan mengesahkan mengenai penahanan Husam dan berkata kes berkenaan dikendalikan Bukit Aman.

Husam seperti dilaporkan dalam Harakahdaily Ahad lalu berkata, peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan pembangkang di Padang Merbok di sini hari ini dianggap sebagai mati syahid.

Kenyataannya itu bertentangan dengan pandangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang mahu ahli parti mematuhi pendirian serta nasihat Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa tiada paksaan untuk mereka menyertai perhimpunan itu.