KUALA LUMPUR: Datuk Rodzi Md Saad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Digital berkuatkuasa 12 Disember 2023.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Rodzi yang berusia 60 tahun berkelulusan Sarjana dalam bidang Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sarjana Muda Demografi dan Kajian Kependudukan (Kepujian) dari Universiti Malaya (UM).

Menurut Mohd Zuki, Rodzi sebelum ini telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 34 tahun serta berpengalaman luas dalam pengurusan dan pentadbiran keselamatan negara.

Ia meliputi pelbagai aspek termasuk sempadan, maritim serta keselamatan siber serta pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan jawatan terakhirnya adalah sebagai Ketua Pengarah MAMPU.

‘’Semoga dengan pelantikan Datuk Haji Rodzi Md Saad dapat memacu pembangunan teknologi digital Negara bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan digital yang holistik, inklusif dan lestari selari dengan aspirasi Malaysia Madani,’’ katanya.

Datuk Rodzi Md Saad sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkuat kuasa 30 Mei 2023.