NEW YORK: Lebih 400 serangan oleh peneroka haram Israel semasa musim menuai buah zaitun yang sedang berlangsung di Tebing Barat telah menyebabkan kematian dan kecederaan serta merosakkan lebih 4,000 pokok dan anak pokok zaitun, menurut pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat, lapor Xinhua.
Dalam laporan situasi terbaharunya, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) memaklumkan jumlah serangan tahun ini melebihi angka yang direkodkan dalam mana-mana musim menuai buah zaitun sebelum ini, memetik Pasukan Kemanusiaan Negara PBB bagi Wilayah Palestin yang Diduduki.
Dianggarkan antara 80,000 hingga 100,000 keluarga Palestin bergantung pada buah zaitun dan minyak zaitun sebagai sumber mata pencarian, dengan sektor itu menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian Palestin.
Pasukan itu menyatakan gesaan berulang kali kepada pihak berkuasa Israel supaya melindungi petani tidak diendahkan.
Pasukan itu turut melaporkan bahawa pihak berkuasa Israel telah merosakkan lebih 10,000 pokok milik rakyat Palestin dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026.
Pasukan berkenaan menggesa pihak berkuasa Israel supaya menghentikan semua serangan, memastikan petani mendapat akses selamat ke tanah mereka serta mempertanggungjawabkan pihak yang terlibat atas tindakan mereka.
-- BERNAMA-XINHUA