Ringkasan AI
- Sultan Pahang menegaskan kebebasan rakyat bukan lesen untuk bertindak sesuka hati atau mengetepikan adab, fakta dan asas kenegaraan.
- Baginda mengingatkan rakyat agar menghargai keamanan, kemerdekaan dan kestabilan negara hasil perjuangan serta permuafakatan generasi terdahulu.
- Mahasiswa diingatkan supaya tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, tetapi juga memahami nilai kedaulatan dan memelihara perpaduan masyarakat.
KUALA LUMPUR: Kebebasan yang dinikmati rakyat tidak seharusnya dijadikan lesen untuk bertindak sesuka hati atau mengetepikan adab, fakta serta asas kenegaraan, titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda bertitah generasi hari ini perlu menghargai keamanan, kemerdekaan dan kestabilan negara yang terbina hasil perjuangan, kebijaksanaan serta permuafakatan generasi terdahulu.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan supaya rakyat tidak menjadi seperti "kaduk naik junjung" apabila diberikan ruang dan kebebasan.
"Janganlah menjadi seperti kaduk naik junjung. Apabila diberi ruang dan kebebasan, semakin tinggi menjulang, semakin melupakan akar tempat berpaut.
"Janganlah setelah menikmati keamanan dan kemakmuran negara, kita menjadi terlalu angkuh dengan bertindak sehingga merosakkan warisan, institusi serta asas kenegaraan yang selama ini menjadi pelindung kehidupan masyarakat.
"Sesungguhnya, kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati. Keberanian bukan alasan untuk berlaku biadab," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Ke-23 (Sesi Pertama), hari ini.
Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa kebijaksanaan tidak boleh diukur melalui kelantangan seseorang melawan arus atau mempertikaikan sesuatu tanpa berlandaskan fakta.
"Tidak semua yang melawan arus itu pejuang. Tidak semua yang lantang bersuara itu benar dan tidak semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak," titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah perbezaan pandangan dan teguran tidak pernah ditolak, namun ia perlu disampaikan berlandaskan fakta dan adab.
Baginda turut menitahkan mahasiswa supaya tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya memahami nilai kedaulatan, menghargai institusi negara serta memelihara perpaduan masyarakat.
"Gunakan hati untuk mendamaikan dan menyatukan masyarakat, bukannya meruntuhkan perpaduan dan menyemarakkan permusuhan," titah baginda.