Ringkasan AI
- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak kepada 208 penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 baginda.
- Penerima utama termasuk Pengarah JKR Perak Ir Zamri Mat Kasim, serta pegawai kanan universiti, jabatan kerajaan dan atlet negara.
- Anugerah meliputi DPMP, PCM, PMP, ACM, AMP, PPT, PJK dan PLP, dengan majlis diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 208 penerima bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 baginda di Istana Iskandariah, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berangkat.
Hadir sama, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Penerima pada hari ini merupakan sebahagian daripada 218 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena dengan hari keputeraan baginda yang disambut pada 6 November.
Mendahului senarai penerima hari ini ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak Ir Zamri Mat Kasim yang menerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk.
Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas Prof Dr Abd Rashid Abd Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan) Raja Azlal Raja Azman dan Timbalan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Dr Raja Nor Safinas Raja Harun pula antara 11 penerima Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).
Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 31 penerima termasuk Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dan Kedah Hairulnizam Abd Rahman serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Yusri Mohd Yusoff@Hashim.
Penerima PMP yang lain termasuklah Pegawai Khas Ketua Setiausaha Negara Dr Wan Mohd Hasif Wan Muhamat Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir.
Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Perak Syamsiah Sahat pula antara 19 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).
Selain itu, sebanyak 48 individu menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), manakala 52 individu pula dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih (PPT).
Atlet paralimpik berbasikal Nur Suraiya Muhamad Zamri dan penyerang hoki kebangsaan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal merupakan antara 34 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), selain pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi serta pelari wanita negara Shereen Samson Vallabouy.
Sebanyak 12 individu pula dianugerahkan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
-- BERNAMA