KUALA LUMPUR: Tiga penambahbaikan bagi memudahkan urusan peniaga di ibu negara akan dilaksanakan, termasuk menetapkan permit meja dan kerusi di kaki lima pada kadar RM30 sebulan bagi setiap set, selain mempermudah proses permit kerja kecil serta mempertimbang pembukaan semula premis yang ditutup atas faktor kebersihan seawal 24 jam selepas kerja pembersihan selesai.
DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan penambahbaikan itu, merupakan usaha berterusan bagi memperkemas penyampaian perkhidmatan, mengurangkan proses yang tidak perlu serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif di Kuala Lumpur.
“Penambahbaikan yang akan dilaksanakan ini terpakai kepada semua peniaga yang memenuhi syarat ditetapkan tanpa mengira latar belakang atau jenis premis,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu permit meja dan kerusi di kaki lima pula, permohonan boleh dikemukakan melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing dan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian lokasi serta kelebaran kaki lima.
“Kelulusan pula tertakluk kepada syarat laluan pejalan kaki, pengguna kerusi roda dan akses bagi operasi kecemasan tidak terhalang.
“Bagi permit kerja kecil seperti pertukaran jubin atau siling yang tidak melibatkan perubahan struktur bangunan, pemohon hanya perlu mengisi borang dan membuat pemakluman kepada DBKL,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan DBKL, permit berkenaan boleh dikeluarkan secara terus melalui Pejabat Cawangan DBKL mengikut kawasan Parlimen masing-masing, sekali gus mempercepat proses permohonan bagi kerja berisiko rendah tanpa menjejaskan aspek pematuhan dan keselamatan.
“Sementara itu, premis yang diarahkan tutup atas faktor kebersihan boleh dipertimbang untuk dibuka semula seawal 24 jam, selepas tindakan pembersihan dilaksanakan dengan sempurna.
“Bagaimanapun, pembukaan semula bukan secara automatik dan hanya dibenarkan selepas pemeriksaan serta pengesahan DBKL bahawa semua keperluan kebersihan dan keselamatan makanan telah dipenuhi,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, setiap kelonggaran proses akan dilaksanakan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan, aksesibiliti dan kepentingan awam, selain membantu menyeragamkan proses, syarat serta pelaksanaan penguatkuasaan peringkat cawangan.
Menurut DBKL, proses yang jelas dan seragam bukan sahaja memberi kepastian kepada peniaga, malah memudahkan pegawai menjalankan tugas serta mengurangkan ruang kepada perbezaan tafsiran dalam pelaksanaan.
“Usaha berkenaan dibuat susulan sesi libat urus bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud serta wakil Persatuan Pekedai Kedai Kopi dan Teh Cina Selangor dan Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu satu lagi sesi libat urus bersama dengan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), turut diadakan pada April lepas bagi membincangkan isu yang dihadapi pengusaha premis makanan, khususnya berkaitan pembukaan semula premis.
-- BERNAMA