KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan kerja pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara susulan kejadian pecah kenderaan yang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Menurut kenyataan DBKL hari ini, kerja pemasangan CCTV itu akan dilaksanakan dalam tempoh seminggu dan dijangka siap pada awal Mac ini.
Advertisement
“DBKL mengambil maklum hantaran Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, berhubung kejadian pecah kenderaan di kawasan tempat letak kereta Taman Persekutuan Bukit Kiara serta cadangan pemasangan CCTV di lokasi berkenaan.
“DBKL memandang serius insiden tersebut dan kebimbangan disuarakan orang awam. Keselamatan warga kota serta pengunjung taman sentiasa menjadi keutamaan kami dalam memastikan persekitaran awam yang selamat dan kondusif,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, polis dilaporkan sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes pecah cermin kereta milik Teresa Kok di kawasan parkir Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini pada 22 Feb lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal berkata kejadian dipercayai berlaku antara 6.15 petang hingga 7 malam ketika Ahli Parlimen itu sedang melakukan aktiviti senaman di taman rekreasi berkenaan.
-- BERNAMA