Skip to main content

Malaysia

DBKL tangani isu kesesakan di lokasi kritikal melalui projek naik taraf jalan

KUALA LUMPUR, 23 Okt -- Menteri dan pegawai kanan dari negara anggota ASEAN mula tiba di Malaysia untuk menghadiri mesyuarat sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).  Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati beberapa laluan utama seperti Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) mengalami kesesakan sejak awal pagi berikutan penutupan jalan sementara yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada langkah
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata kesemua projek berkenaan memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu bottleneck yang menjejaskan pergerakan harian warga kota. - Gambar hiasan/Bernama

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melaksanakan tiga projek jalan bersasar di lokasi kritikal yang dikenal pasti berdasarkan analisis aliran trafik semasa serta unjuran pertumbuhan kenderaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata kesemua projek berkenaan memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu bottleneck yang menjejaskan pergerakan harian warga kota.

Advertisement

Beliau berkata projek itu melibatkan pembinaan jalan dan terowong dari Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link) di Segambut bagi menangani kesesakan di Jalan Desa Kiara dan kawasan Mont Kiara yang berada pada tahap kritikal (LOS F) akibat kekangan laluan keluar masuk serta peningkatan kepadatan pembangunan.

“Bagi menangani isu ini, DBKL akan membina laluan alternatif yang menghubungkan Jalan Kiara 7 terus ke Lebuhraya SPRINT (E23 Penchala Link). Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 562 meter serta struktur terowong dan jambatan.

“Berdasarkan simulasi trafik yang dijalankan, projek ini berpotensi meningkatkan tahap perkhidmatan jalan daripada LOS F kepada LOS C, sekali gus mengurangkan masa perjalanan dan mengagihkan semula aliran trafik di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadlun berkata projek berkenaan akan bermula pada suku keempat tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Selain itu, DBKL turut melaksanakan kerja-kerja menaik taraf susur keluar di Seputeh dari Lebuhraya Pantai Baru (NPE) ke Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban berikutan kesesakan di kawasan berkenaan, khususnya melibatkan aliran trafik dari Jalan Kuchai Maju, Jalan Desa dan Salak yang telah memberikan kesan langsung kepada perjalanan waktu puncak.

Beliau berkata kerja menaik taraf itu melibatkan penambahan satu lorong menjadikannya tiga lorong serta menaik taraf jajaran jalan dan jambatan sepanjang kira-kira 600 meter bagi meningkatkan kapasiti dan kelancaran aliran trafik.

Projek berkenaan, katanya, dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan siap dalam tempoh satu tahun.

Fadlun berkata projek turut melibatkan kerja menaik taraf persimpangan Jalan 7/24 dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Wangsa Melawati yang dijangka bermula pada Jun ini dan siap dalam tempoh empat bulan.

“Cadangan menaik taraf melibatkan pelebaran susur masuk dan keluar, penambahbaikan reka bentuk persimpangan serta peningkatan elemen keselamatan jalan raya. DBKL kini pada peringkat akhir memuktamadkan reka bentuk sebelum dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor untuk kelulusan,” katanya.

Fadlun berkata ketiga-tiga projek berkenaan mencerminkan pendekatan baharu DBKL yang meletakkan hasil pembangunan kembali kepada rakyat melalui pelaburan infrastruktur yang menyelesaikan masalah sebenar bandar raya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video