MALAYSIA
Dedikasi petugas jayakan sambutan Hari Kebangsaan 2025 luar biasa - Anwar

Anwar (dua, kiri) hadir pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas keselamatan, sukarelawan, penjawat awam serta mereka yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, semalam.
Ringkasan AI
- PM Anwar Ibrahim merakam penghargaan kepada petugas keselamatan, sukarelawan, penjawat awam dan semua pihak yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya.
- Beliau menekankan kehadiran rakyat melambangkan kekuatan Malaysia yang berpaksikan perpaduan, saling menghormati dan cinta tanah air.
- Sambutan bertema -Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni- melibatkan 14,062 peserta, 81 kontinjen, 21 pancaragam, 7 kereta berhias, 508 aset ATM/TUDM dan 116 haiwan perkhidmatan awam.
"Tidak lupa, terima kasih kepada para hadirin yang hadir untuk bersama-sama meraikan detik bermakna ini sebagai satu rakyat, satu negara.
"Kehadiran dan komitmen semua melambangkan kekuatan sebenar Malaysia kekuatan yang lahir daripada perpaduan, saling menghormati, dan rasa cinta terhadap tanah air tercinta ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" itu semalam.
Perarakan dan persembahan tahun ini menyaksikan penglibatan 14,062 peserta, 81 kontinjen, 21 pasukan pancaragam, tujuh kereta berhias, 508 aset Angkatan Tentera Darat dan Tentera Udara Diraja Malaysia, serta 116 haiwan dalam perkhidmatan awam.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami