Deklarasi Rakyat yang ditandatangani Jumaat lalu bukan semata-mata untuk menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia juga bertujuan bagi melihat reformasi dilaksanakan secara menyeluruh dalam sistem perlembagaan negara.

Justeru, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut menandatangani deklarasi berkenaan berkata, sokongan rakyat amat diperlukan bagi menjayakan hasrat yang terkandung dalam tuntutan deklarasi itu.

"Kita juga mesti menuntut supaya reformasi menyeluruh dijalankan dan perkara itu terdapat di dalam deklarasi, sebab itu kita setuju dan kalau setakat mahu pecat Perdana Menteri, kita tidak akan hadir pada hari tersebut.

"Kita hadir dengan matlamat yang cukup jelas iaitu reformasi mesti dilaksanakan dalam sistem kenegaraan termasuk peletakan jawatan Datuk Seri Najib," katanya selepas merasmikan majlis penyerahan kunci di Villaria Condominium, di sini, hari ini.


Azmin juga berkata, beberapa program bersama rakyat akan diaturkan bagi menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara yang terkandung dalam deklarasi berkenaan selain meraih sokongan mereka terhadap deklarasi tersebut.

Pada 4 Mac lepas, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lebih 50 pemimpin dan bekas pemimpin menandatangani Deklarasi Rakyat bagi memberi tekanan kepada Najib untuk meletakkan jawatan.