KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara telah meneliti dan mengkaji secara mendalam cadangan dekriminalisasi cubaan bunuh diri termasuk dari sudut Islam khususnya syariah dalam usaha memansuhkan kesalahan itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata beberapa sesi libat urus telah dilakukan bersama pakar serta pihak berkepentingan sejak 2018 hingga 2020 bagi meneliti isu berkaitan.

"Saya juga difahamkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah merujuk kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan pejabat tersebut tiada halangan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 (Akta 574) yang kemudian diluluskan di Dewan Rakyat hari ini selepas dibahaskan oleh lapan Ahli Parlimen.

Beliau berkata Seksyen 309 Akta 574 wajar dimansuhkan untuk mengubah pendekatan terhadap cubaan bunuh diri daripada yang bersifat punitif kepada pendekatan berasaskan rawatan perubatan.

Bagaimanapun, kesalahan persubahatan membunuh diri di bawah Seksyen 305 dan 306 akta itu akan dikekalkan sebagai suatu kesalahan.

"Selain itu, usaha pemansuhan Seksyen 309 akan juga membawa pindaan kepada akta lain yang berkaitan," katanya.

Pemansuhan Seksyen 309 Akta 574 akan menjadi anjakan dalam usaha mencegah kes cubaan bunuh diri di Malaysia bagi menggalakkan mereka yang terkesan tampil ke hadapan untuk mendapatkan bantuan, menghapuskan stigma terhadap perbuatan cubaan bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.

Turut diluluskan Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2023 untuk memasukkan persubahatan perlakuan cubaan bunuh diri oleh kanak-kanak, orang yang kurang keupayaan mental, atau mana-mana orang sebagai kesalahan jenayah melalui pindaan Kanun Keseksaan (Akta 574).

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.