TAIPING: Denai konservasi di Maxwell Base Camp yang terletak di kaki Bukit Larut dibangunkan untuk tujuan pembelajaran berkonsepkan informatif dan interaktif kepada para pengunjung.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata bahagianpertama denai sepanjang 220 meter yang telah dibangunkan pada Ogos tahun lepas setelah memperoleh kebenaran daripada kerajaan negeri Perak, mula dibuka sejak 17 Jun dan akan dipanjangkan secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata denai konservasi itu dibangunkan atas inisiatif sebuah syarikat pengurusan acara sukan, Malaysia Mountain Train Festival (MMTF) dan ia merupakan projek kelestarian yang mengutamakan biodiversiti, pemuliharaan alam semula jadi, pengurangan karbon serta kemampanan alam sekitar.

"Pengunjung yang melalui denai konservasi ini boleh mendapatkan informasi mengenai kepelbagaian spesies flora dan fauna yang terdapat di sini dengan hanya mengimbas QR kod yang dipaparkan pada papan tanda di sepanjang laluan tersebut.

"Saya juga difahamkan sebanyak 5,300 pokok telah ditanam di Maxwell Base Camp yang berkeluasan 1.6 hektar sejak November tahun lepas," katanya pada sidang media selepas melancarkan denai konservasi berkenaan di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Nurmalis Musa.

Sementara itu, Ammar berkata antara spesies flora yang terdapat di denai konservasi itu ialahpokok sentul, pokok pulai, pokok leban dan pokok membuluh manakala spesies fauna adalah seperti burung takau rimba, burung murai cacing, kijang, lutung dan tupai pinang.

Beliau berkata terdapat dua tapak perkhemahan selain empat denai yang digunakan untuk latihan larian pendakian dan aktiviti riadah.

Kawasan di sekitar Bukit Larut juga, katanya menjadi antara lokasi tumpuan bagi peminat spesies burung untuk melakukan aktiviti pencerapan burung.

"Salah satu daripada denai tersebut akan digunakan sebagai laluan untuk cabaran larian 'vertical kilometer' dalam penganjuran The North Face Malaysia Mountain Trail Festival (MMTF) melibatkan 2.500 peserta dari dalam dan luar negara yang bakal berlangsung pada 2 hingga 5 Nov ini.

"Tourism Malaysia menyokong sepenuhnya projek konservasi di Maxwell Base Camp yang dilihat mampu memberikan nafas baharu selain menggamit kehadiran pengunjung ke Taiping khususnya Bukit Larut," katanya.

Langkah berkenaan kata beliau bukan sahaja seiring dengan hala tuju industri yang menuju ke arah kelestarian pelancongan malah trend semasa menunjukkan kecenderungan pelancong untuk meneroka aktiviti pelancongan rekreasi termasuk pendakian.

-- BERNAMA