KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berisiko dikenakan denda atau penjara sekiranya didapati mengelirukan orang awam dengan mendakwa program ditawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) walaupun hakikatnya ia tidak, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bercakap di Dewan Rakyat pada Isnin, Mohamed Khaled berkata tindakan denda dan penjara itu juga boleh dikenakan kepada mana-mana IPTS yang terbabit sebarang aktiviti mempromosi dan mengiklankan program pengajian yang tidak mendapat akreditasi MQA.

Beliau memaklumkan, semua tindakan itu boleh diambil berdasarkan Seksyen 96 dan 97 Akta MQA (Akta 697) namun sepanjang tahun lalu sahaja, hanya satu aduan diterima berhubung penawaran program dibuat IPTS tanpa akreditasi.

"Pihak kementerian sentiasa memandang serius sebarang isu yang membabitkan integriti dan pengiktirafan IPT. Justeru pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dijalankan ke atas IPT bagi memastikan IPT sentiasa mematuhi akta dan peraturan yang berkuat kuasa.

"Berdasarkan peruntukan kedua-dua seksyen ini, mana-mana orang yang mendaftarkan pelajar bagi suatu program yang didakwa sebagai program diakreditasi tanpa suatu perakuan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Malah, di bawah Seksyen 97, sebarang aktiviti mempromosi dan mengiklankan program pengajian yang tidak mendapat akreditasi MQA boleh disabitkan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Bung Moktar dalam soalannya meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyatakan usaha yang dilakukan dalam mengawal pertumbuhan IPTS yang tidak mendapat pengiktirafan MQA.

KPT tumpu kualiti sebelum penubuhan sesebuah IPTS - Khaled


Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata, sehingga Januari lalu, terdapat 416 IPTS yang didaftarkan di negara ini membabitkan 56 universiti, 34 kolej universiti, 316 kolej dan 19 kampus cawangan universiti luar negara.

Beliau berkata, seramai 513,000 pelajar mengikuti pengajian di IPTS dengan 59,000 daripada membabitkan pelajar antarabangsa.

"Ia menyumbang sebanyak kira-kira RM31.5 bilion kepada ekonomi dan pulangan terhadap negara pada 2020," katanya yang mengakui syarat dikenakan bagi penubuhan IPTS adalah tidak mudah bagi menjamin kualitinya.

Beliau berkata, antara syarat yang dikenakan ialah Ahli Lembaga Pengarah IPTS perlu mempunyai pengalaman dalam pengurusan organisasi sekurang-kurangnya tiga tahun, selain mempunyai modal berbayar sebanyak RM1 juta bagi kolej, RM15 juta (kolej universiti) dan RM20 juta (universiti).

Katanya, syarikat yang ingin menguruskan IPTS juga diwajibkan mencatatkan keuntungan bagi penyata tiga tahun terkini sebelum diluluskan lesen dan perlu menguruskan institusi pendidikan bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.