Pagi 8 Mac lalu, mungkin hari yang biasa bagi Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila beliau menghadiri program 'retreat' UMNO di Janda Baik, Pahang.

Namun situasi itu berubah 180 darjah apabila menerima khabar mengenai pesawat Malaysia Airlines yang hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

"Macam tidak percaya." Itulah tanggapan pertama Pemangku Menteri Pengangkutan itu selepas kali pertama mendengar mengenai kehilangan pesawat itu.

Namun seperti biasa sebarang maklumat yang diterima menerusi media sosial perlu diperiksa kesahihannya terlebih dahulu.

Terdetik hatinya untuk memeriksa telefon bimbit beliau ketika itu dan benar menerima berita awal menerusi SMS mengesahkan kehilangan MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk krew.

"Saya terus buat keputusan turun untuk mendengar pengesahan lanjut daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA)."

"Ketika dalam perjalanan, saya mendapat panggilan daripada Pangliman Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang menyatakan ada kesan dalam radar tentera berhubung sebuah pesawat yang belum dikenal pasti sebagai MH370 ketika itu."

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bertemu media tempatan

Hishammuddin menceritakan kembali pengalaman detik-detik awal kepada pemberita dalam satu temubual khas selepas mendapat tahu kehilangan pesawat yang sepatutnya berlepas ke Beijing pada malam berkenaan.

Berhubung persoalan mengapa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak melancarkan pesawat pemintas selepas mengesan pesawat tanpa identiti melintasi ruang udara, Hishammuddin menjelaskan pesawat berkenaan dikenal pasti sebagai pesawat awam berdasarkan pusingan udara dibuat ketika masih berada dalam ruang udara Malaysia dan bukan datang dari luar.

"Kalau kita scramble kita punya aircraft pun keputusan untuk menembak sebuah pesawat komersial yang ada di dalam penumpang daripada 14 negara siapa nak buat keputusan itu kalau kapal terbang itu tidak berhenti?" kata Hishammudin yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau juga mengaitkan insiden 11 September di Amerika Syarikat melibatkan pesawat komersial menyerang bangunan World Trade Centre di New York dan Pentagon di Washington.

"Mereka pun kena fikir balik S.O.P mereka tetapi dalam hal kita ini, kita tidak lalui September 11 dan kalau kalau kita 'scramble' pun kita punya aircraft dan kalau tembak jatuh satu pesawat komersial yang sarat dengan penumpang, itu kontroversi lebih berat yang terpaksa kita pikul." kata Hishammudin sambil menambah Panglima Tentera Udara sebelum ini telah memaklumkan pesawat berkenaan berpatah balik di ruang udara negara dan tidak dilihat sebagai suatu ancaman.

Namun saat yang paling mencabar bagi Hishammudin yang sentiasa menampakkan penampilan tenang sepanjang 3 minggu menangani krisis itu adalah apabila misi mencari dan menyelamat terpaksa berubah daripada kawasan pencarian di Laut China Selatan ke koridor utara dan selatan.

"Ketika itu kita mula pencarian di Laut China Selatan. Selepas itu, apabila melihat ada kemungkinan pesawat itu berpatah balik kita juga mengerahkan aset pertahanan ke Selat Melaka. Jadi apabila kita melihat imej satelit kemungkinan pesawat berada di koridor utara atau selatan. Itu keadaan paling mencabar macam 'betul ke ini?' Lepas itu kita tengok selatan koridor, tengok biru saja. Hanya ada dua kawasan daratan iaitu Indonesia dan Australia sahaja. Itu yang paling saya takut." ujar Hishammuddin.

Selain itu, cabaran diplomatik antara negara-negara terlibat yang disifatkan cukup rumit dan kompleks.

"Kita nak deploy balik aset ke koridor utara dan selatan, tengok utara ada Kazakhstan dan Turkmenistan saya tidak kenal pemimpin-pemimpin sana. Ada koridor juga melibatkan sempadan Bangladesh, Myanmar, India dan China.

Itu mencabar sebab melibatkan cabaran diplomatik." tambahnya lagi.

Namun bagi pemimpin itu yang tidak pernah gusar setiap kali menjawab pertanyaan daripada pemberita dari dalam mahupun luar negara setiap hari dalam sidang media yang diadakan.

"Beberapa hari kebelakangan ini, saya tidak berdepan soalan susah sebab kita ikhlas dan jujur. Tidak ada benda yang disembunyikan tetapi kita bertanggungjawab dan bukan cakap sembrono."

Bagaimanapun setiap kali sebelum beliau naik ke atas pentas untuk berdepan ratusan media dalam bilik sidang media, hatinya luluh memikirkan ahli keluarga krew dan penumpang pesawat MH370.

"Kesukaran bagi saya semasa mengendalikan sidang media itu adalah mengetahui ahli keluarga penumpang sedang menonton sidang media berkenaan mengharapkan sesuatu yang boleh memberi mereka penutup atau sedikit kegembiraan." kata Hishammuddin.

"Itu perkara yang saya fikirkan setiap kali saya naik ke pentas itu."