KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan satu usul ke Dewan Rakyat susulan kenyataan semasa prosiding melibatkan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner.

Menerusi satu kenyataan, Anwar berkata usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Jelasnya, ia berkait amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya Bank Negara Malaysia susulan daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai.


"Ia juga perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut," katanya.

Justeru, beliau berharap usul beliau itu mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.