Dewan Rakyat lulus dua RUU berkaitan pembangunan kemahiran

Dewan Rakyat hari ini meluluskan dua rang undang-undang (RUU) berkaitan pembangunan kemahiran negara, iaitu RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan dua rang undang-undang (RUU) berkaitan pembangunan kemahiran negara, iaitu RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) antaranya bertujuan memberi insentif kepada pemberi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti, sekali gus menjaga kebajikan pelajar.
"Ada keadaan pelajar membelanjakan wang masuk ke kursus-kursus vokasional tetapi akhirnya sebab pemberi latihan itu tidak berkualiti, maka mereka bukan sahaja membuang masa, kadangkala berhutang (untuk pengajian) kerja tak dapat," katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Sim berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) maklum masih tiada mekanisme jelas dalam akta sedia ada bagi menggantung atau membatalkan pentauliahan pusat latihan yang gagal mengekalkan piawaian atau melanggar standard ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau berkata KESUMA berpandangan sudah tiba masa untuk memperkukuhkan lagi sistem kawal selia pada masa kini melalui pindaan yang dibawa.
PARLIMEN-LULUS (KEMAHIRAN) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Kementerian ini berhasrat memperkenalkan sistem yang lebih dinamik dan berasaskan prestasi dengan pusat latihan yang menunjukkan kecemerlangan diberi pengiktirafan sewajarnya manakala pusat yang lemah akan dibimbing dan dipantau secara berterusan bagi memastikan piawaian kualiti latihan," katanya.
RUU itu juga bertujuan menambah baik tempoh pentauliahan penyedia latihan kemahiran daripada tiga kepada enam tahun serta memperkenalkan tatacara penggantungan dan pembatalan yang lebih jelas, telus dan berakauntabiliti.
Ia juga bagi memperkemas persijilan kemahiran di Malaysia dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir negara.
Sementara itu, RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bagi meluaskan skop pembiayaan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Antara teras utama pindaan adalah perluasan skop pinjaman latihan kemahiran dan bantuan kewangan kepada program latihan lain yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta pemantapan tadbir urus melalui proses kelulusan, pengurusan dan kawalan bantuan kewangan lebih telus.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


