KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan sebanyak 31.4 juta pelancong pada 2025, dengan jumlah pendapatan pelancongan kira-kira RM125.5 billion.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, sasaran tersebut meningkat lebih 4 juta pelancong atau lebih RM22 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan tahun ini.

"Bagi tahun 2023 jumlah ketibaan pelancong yang direkodkan berjumlah 20.1 juta dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM71.3 billion.

"Bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 adalah 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 billion," katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (PH-Tuaran) yang mahu kementerrian menyatakan berapa sasaran pulangan pelancongan kepada ekonomi negara dan apakah program dan langkah-langkah untuk menarik lebih banyak pelancong asing untuk melawat Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus (GRS-Batu Sapi) berkata MOTAC memerlukan sokongan padu daripada kerajaan negeri, penggiat industri pelancongan serta rakyat bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Jelas beliau, sehingga kini empat Negeri juga mengumumkan kempen tahun melawat negeri pada tahun 2024 iaitu Melaka, Perlis, Kelantan dan Perak.

"Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 merupakan agenda negara dalam pelancongan.

"Bagi menjayakan kempen tersebut, MOTAC memerlukan sokongan padu kerajaan negeri, penggiat industri pelancongan negara serta sokongan rakyat dalam membuat persiapan rapi menerima kedatangan lebih ramai pelancong asing ke Malaysia," katanya lagi.

Khairul Firdaus menambah MOTAC melalui agensi penyeliaannya Tourism Malaysia akan meneruskan penyertaan akif dalam pameran pelancongan antarabangsa bagi memastikan penjenamaan Malaysia Truly Asia kekal menjadi pilihan pelancong seluruh dunia.