ALOR SETAR: Kerajaan Kedah meneruskan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda yang hanya melibatkan kawasan seluas 25,000 hektar yang telah dikeluarkan lesen pembalakan sebelum ini, dan ia tertakluk kepada beberapa syarat khusus.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata dalam hal berkenaan, tindakan kerajaan untuk menghentikan aktiviti pembalakan yang dilakukan oleh syarikat pembalakan akan memberi implikasi undang-undang termasuk kerajaan negeri perlu membayar balik premium atau berhadapan tindakan mahkamah.

"Oleh itu keputusan kerajaan negeri untuk meneruskan aktiviti pembalakan di Ulu Muda adalah tertakluk kepada beberapa syarat antaranya pembukaan pembalakan tahunan adalah berdasarkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Majlis Tanah Negara iaitu 4,200 hektar setahun.

"Lesen tebangan untuk seluruh Kedah dikeluarkan tak lebih CTT (4,200 hektar) setahun, jika diambil kira keseluruhan keluasan yang diluluskan iaitu 75,000 hektar (termasuk di Ulu Muda), maka masa (untuk habiskan pembalakan di kawasan seluas 75,000 hektar) perlukan lebih kurang 18 tahun," kata Muhammad Sanusi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (Pejuang-Jitra) yang ingin tahu rasional kerajaan negeri meneruskan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda.

Muhammad Sanusi berkata aktiviti pembalakan yang dijalankan juga adalah melalui kaedah mesra alam dengan penggunaan mesin atau jentera pengusahasilan sistem 'log fisher' yang dapat mengurangkan pembukaan jalan ke kawasan pokok yang ditebang.

"(Syarat lain) menambah dan menetapkan Zon Penampan terhadap alur sungai, sebelum ini 20 meter tambah jadi 40 meter dari sungai, jadi kesan tebangan tak masuk ke sungai dan mengeruhkan keadaan (air sungai)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dari segi ekonomi, pemberhentian pembalakan di Ulu Muda akan menyebabkan pengurangan pembukaan kawasan untuk pembalakan dan secara tidak langsung mengakibatkan pengurangan hasil kerajaan negeri.

"Penutupan aktiviti pembalakan di Ulu Muda juga akan menyebabkan berlakunya pengurangan sumber bahan kayu dalam industri perkayuan dan seterusnya akan memberi kesan kepada peluang pekerjaan," katanya.

Beliau berkata bagaimanapun dalam usaha memperkasakan ekonomi, kerajaan negeri menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 seperti pembangunan projek-projek berimpak tinggi dan perbandaran baharu yang lestari dan mampan.

"Inisiatif sebegini akan memberi impak ekonomi yang positif khususnya dari segi peluang pekerjaan kepada rakyat dan menyumbang kepada hasil pendapatan kerajaan negeri," katanya.

-- BERNAMA