Dewan Rakyat: Subjek Pendidikan Karakter bermula tahun depan - Fadhlina

Fadhlina (foto) berkata pelaksanaan kurikulum baharu itu kini dalam peringkat persiapan dan akan dimulakan terlebih dahulu di peringkat prasekolah. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan subjek Pendidikan Karakter mulai tahun hadapan, sebagai langkah memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid.
Ringkasan AI
- KPM akan memperkenalkan subjek Pendidikan Karakter mulai 2026, bermula di prasekolah sebagai teras Kurikulum Persekolahan 2027 untuk memperkukuh sahsiah dan jati diri murid.
- Subjek ini menekankan nilai moral, akhlak dan pembinaan keperibadian seimbang, selaras dengan hasrat melahirkan generasi pelajar berakhlak tinggi.
- Bagi menangani isu kesihatan mental murid, KPM melaksanakan saringan minda sihat dua kali setahun dan menyediakan intervensi bersama KKM serta latihan khusus untuk guru dan kaunselor.
“Kurikulum baharu 2027 ini akan memperkenalkan mata pelajaran penting yang menjadi asas kepada semua, iaitu Pendidikan Karakter.
"Ia akan menjadi teras utama dalam pelaksanaan kurikulum bermula tahun 2026,” katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadhlina menjelaskan, pendekatan pendidikan berasaskan karakter akan menjadi landasan utama yang menyatukan keseluruhan sistem pembelajaran baharu KPM, seiring hasrat warga pendidik untuk melahirkan generasi pelajar berakhlak tinggi dan berkeperibadian seimbang.
Berhubung usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan murid, Fadhlina memaklumkan bahawa KPM melaksanakan saringan minda sihat dua kali setahun di sekolah.
“Jika terdapat tanda-tanda tekanan atau kemurungan, murid akan dirujuk untuk mendapatkan intervensi dan sokongan daripada pihak berautoriti termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.
Beliau menambah, intervensi melalui pakar psikiatri telah dijalankan, namun langkah pembaharuan segera akan memperkukuh lagi pendekatan tersebut melalui latihan dan program khusus bagi guru serta kaunselor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami