Tun Dr Mahathir hari ini mengakui berlaku kehilangan wang negara ketika beliau menjawat jawatan perdana menteri, namun menegaskan rakyat dan dunia tahu bagaimana wang itu hilang.

"Kerugian yang dialami oleh Perwaja diketahui. Demikian juga dengan salah urus Bank Bumiputra oleh pengurusannya.

"Maminco rugi kerana London Metal Exchange memutuskan bahawa bijih timah yang dijual mengikut perjanjian jual beli yang sah tidak perlu ditunaikan dengan membekal logam berkenaan kepada pembeli.

"Ini diputuskan untuk menyelamat penjual yang tidak ada timah. Malaysia sebagai pembeli mengalami kerugian," tulis Dr Mahathir di blognya hari ini.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, yang nyata negara tahu di mana wang pergi yang dilabur ketika beliau menerajui pentadbiran negara.

"Dalam perniagaan ada kala untung, ada kala rugi. Yang tidak boleh diterima ialah duit itu hilang tanpa diketahui ke mana," tulis beliau lagi.

Dr Mahathir berkata, prestasi Datuk Seri Najib Tun Razak lebih buruk berbanding perdana menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, tahap populariti Najib juga kini merosot ke paras paling teruk berbanding ketika baru mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Pencapaiannya lebih buruk daripada Abdullah, tewas lebih teruk di Selangor di mana beliau mengetuai Umno.

“Sangat banyak skandal menghurunginya sekarang. Popularitinya lebih rendah berbanding ketika beliau mengetuai BN pada 2013," katanya.

Dr Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) mungkin akan tewas dalam pilihan raya umum selepas ini memandangkan Sabah dan Sarawak bukan lagi “undi selamat” buat parti itu.

Menurutnya lagi jumlah undi majoriti yang dimenangi BN di beberapa kawasan juga sangat tipis.

“Adakah terlalu mustahil untuk meramalkan kekalahan BN pada 2018?” soal beliau.

Dr Mahathir dalam tulisannya menegaskan beliau masih ahli UMNO dan sayangkan parti itu serta mengkritik pemimpin yang menerajuinya.

"Saya mengkritik pemimpin, bukan parti. Kesimpulannya mudah, kerana saya mahu parti menang. Ia (UMNO) tidak akan menang jika Najib mengetuainya," katanya lagi.