Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Dialog Negara Bangsa: Dasar berkecuali, bebas, perkukuh kedudukan Malaysia dalam dunia multipolar

DNB, Awang Azman, Kedaulatan Negara
Awang Azman berkata perubahan landskap geopolitik dunia yang kini semakin bersifat multipolar turut menuntut Malaysia untuk kekal fleksibel dalam menguruskan hubungan antarabangsa. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dialog Negara Bangsa: Dasar berkecuali, bebas, perkukuh kedudukan Malaysia dalam dunia multipolar

Malaysia akan terus mengekalkan dasar luar berkecuali dan bebas dalam berdepan kuasa-kuasa besar dunia, termasuk dengan China dan Amerika Syarikat, kata Dekan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.

Menurut beliau, pendekatan itu membolehkan Malaysia menjalinkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan pelbagai negara tanpa menjejaskan pendirian negara dalam isu global.

Beliau berkata, hubungan perdagangan yang kukuh dengan China dan Amerika Syarikat (AS) tidak bermakna Malaysia perlu tunduk kepada dasar mana-mana kuasa besar.

“Saya kira Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang menekankan konsep kedaulatan, kebebasan bersuara tetapi dalam masa yang sama bersifat berkecuali dalam isu-isu yang melibatkan kuasa besar yang ini jelas dalam pendirian Malaysia dan juga ASEAN,” katanya.

“Jadi apabila konsep berkecuali itu misalnya, Malaysia daripada segi dagangan kita lihat dagangan terbesar Malaysia dengan China sangat besar sekali yang kedua dengan AS.

“Maknanya dalam konsep ini walaupun Malaysia berdagang dengan China, tetapi ia tidak mengubah dasar Malaysia dasar luar Malaysia mengenai China, sama dengan AS,” katanya.

Awang Azman berkata demikian menerusi program Dialog Negara Bangsa yang mengupas tajuk Kedaulatan: Maruah Sebuah Negara Bangsa yang disiarkan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Astro AWANI, pada Jumaat.

 

 

Menurut beliau, walaupun Malaysia turut mempunyai kebergantungan dalam beberapa sektor teknologi dan perdagangan dengan AS, namun hubungan itu tidak menghalang negara daripada menyuarakan pendirian dalam isu antarabangsa.

Mengulas pendirian Malaysia terhadap isu Palestin, beliau berkata ketegasan negara dalam menyuarakan isu keadilan, kemanusiaan dan hak sejagat adalah konsisten dengan dasar luar Malaysia sejak sekian lama.

“Kita lihat Perdana Menteri kita begitu tegas dalam isu Palestin dan ini konsisten dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara yang terdahulu.

“Saya kira Perdana Menteri yang akan datang pun akan terus konsisten dengan pendirian (yang) berkecuali, bebas dan pada masa sama tidak campur tangan dengan isu-isu yang melibatkan kuasa besar tapi menyuarakan (isu) keadilan, kemanusiaan, hak sejagat dan isu-isu global.

“Itu yang menjadikan Malaysia dihormati kerana bebas bersuara tapi tidak memihak, malah kalau kita lihat dalam BRICS, Malaysia dilihat walaupun sebagai rakan BRICS, tetapi Malaysia masih terus mengekalkan hubungan dengan AS sebab kepentingan perdagangan bersama untuk negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata perubahan landskap geopolitik dunia yang kini semakin bersifat multipolar turut menuntut Malaysia untuk kekal fleksibel dalam menguruskan hubungan antarabangsa.

Menurut beliau, kemunculan pelbagai blok ekonomi seperti Kesatuan Eropah (EU) turut memberi ruang kepada Malaysia untuk menjalinkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan pelbagai pihak berdasarkan kepentingan negara.

Beliau berkata pendirian Malaysia dalam isu antarabangsa tidak seharusnya dilihat berdasarkan kecenderungan kepada mana-mana kuasa besar semata-mata.

Tambahnya, Malaysia turut mengekalkan ketegasan dalam menyuarakan pendirian terhadap tindakan mana-mana negara yang dilihat bercanggah dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan.

Must Watch Video

Advertisement