Skip to main content

Malaysia

Dialog Negara Bangsa: Sejarah dipermudah, keghairahan teknologi cabar pembentukan identiti nasional - Eddin Khoo

Perubahan yang berlaku secara mendadak juga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, justeru sejarah perlu dijadikan sumber pengajaran untuk memahami dan menghadapi perubahan zaman dengan lebih matang.
Perubahan yang berlaku secara mendadak juga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, justeru sejarah perlu dijadikan sumber pengajaran untuk memahami dan menghadapi perubahan zaman dengan lebih matang.

Advertisement

Ringkasan AI

  • Eddin Khoo menegaskan penyederhanaan sejarah dan keghairahan terhadap teknologi tanpa pemikiran kritis boleh menjejaskan pembentukan identiti nasional Malaysia.
  • Beliau menyatakan kebergantungan kepada teknologi, khususnya kecerdasan buatan, perlu diimbangi dengan kemahiran komunikasi, interaksi sosial dan pemahaman sejarah.
  • Pendidikan disaran memainkan peranan penting membentuk masyarakat celik teknologi, berfikiran kritis serta memahami kepelbagaian dan konteks sejarah negara.

KUALA LUMPUR: Kecenderungan masyarakat menyederhanakan sejarah berdasarkan perspektif semasa, selain keghairahan mengejar kemajuan teknologi tanpa pemikiran kritis, berisiko menjejaskan pembentukan identiti nasional yang kukuh.

Pengasas Pusaka, Eddin Khoo berkata, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan yang menyaksikan proses pendemokrasian dan perubahan sosial berdepan cabaran daripada warisan sejarah serta ideologi yang kompleks.

Menurut beliau, masyarakat perlu memahami sejarah negara secara menyeluruh dan tidak sekadar menyederhanakannya mengikut perspektif semasa sehingga mengabaikan konteks penting yang membentuk identiti bersama.

“Saya menekankan sejarah itu sangat penting, sejarah kita sangat rumit dan kita cuba permudahkan (pemahaman sejarah) dan dalam usaha kita untuk bukan sahaja permudahkan tetapi mencetekkan sejarah kita kadang-kadang kita ringkaskan.

“Kita ringkas mengikut bayangan hari ini, banyaklah yang (berlaku hari ini), kita harus lebih celik (sejarah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Dialog Negara Bangsa terbitan Astro AWANI dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara yang membincangkan topik Identiti Nasional: Membentuk Wajah Negara Bangsa.

Tambahnya, perubahan yang berlaku secara mendadak juga boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, justeru sejarah perlu dijadikan sumber pengajaran untuk memahami dan menghadapi perubahan zaman dengan lebih matang.

Mengulas cabaran era digital, Eddin turut membangkitkan kebimbangan terhadap kebergantungan masyarakat kepada teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), tanpa disertai keupayaan menilai dan memahami kesannya secara kritis.

Menurut beliau, meskipun generasi muda semakin cekap menggunakan teknologi, kemahiran asas seperti menulis, bertutur dan berinteraksi secara bersemuka perlu terus diperkukuh.

Katanya, kekurangan interaksi sosial dan kecenderungan mengasingkan diri daripada masyarakat boleh menjejaskan keupayaan individu memahami perspektif berbeza, sedangkan proses tersebut penting dalam membina persefahaman serta identiti nasional.

“Saya khuatir sekarang ni kita macam dijajah oleh mesin dan di negara kita, kita kurang kritis kita nak membangun tapi kita tidak kritikal.

“Misalnya dengan Artificial Intelligent (AI) itu bahaya tu, itu sangat bahaya tetapi kita nak menerajui.. dan kita banyak tertarik, tergoda sebenarnya dengan istilah Fourth Industrial Revolution, Artificial Intelligent Age.. fine..

“Tetapi kita harus lebih memahami apa sebenarnya sifat-sifat dan terutamanya kepada orang muda sekarang ini, orang muda saya rasa dia sangat celik sangat pantas dengan mesin,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, pendidikan perlu memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi turut mempunyai pemikiran kritis, kemahiran komunikasi dan pemahaman mendalam terhadap sejarah serta kepelbagaian masyarakat.

Katanya lagi, dalam era media sosial yang mempercepat penyebaran maklumat, keupayaan menilai kandungan, memahami konteks dan berdialog secara terbuka juga penting bagi memastikan teknologi dimanfaatkan untuk memperluas pemahaman masyarakat, bukan sekadar membentuk pandangan berdasarkan maklumat yang cetek.

Malah usaha membina identiti nasional, katanya, perlu mengambil kira cabaran perubahan zaman tanpa mengetepikan asas sejarah, pendidikan dan interaksi manusia yang membentuk sebuah negara bangsa.

Must Watch Video

Advertisement