KUALA LUMPUR: Blok pembangkang hari ini mengemuka usul supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan dewan.

Usul dikemukan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun susulan kenyataan Najib dalam sesi perbahasannya di Dewan Rakyat semalam.

"Saya ingin merujuk Ahli Parlimen Pekan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen seperti yang diperuntuk dalam Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Majlis Dewan Rakyat.

"Perkara ini sudah disampaikan ke pejabat Speaker dalam bentuk surat.

"Saya mahu membangkitkan bahawa beliau dalam ucapannya semalam sudah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina majlis," katanya semasa sidang Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Tony, secara spesifik Najib mengelirukan Dewan Rakyat dalam beberapa perkara seperti menyatakan tiada satu sen prinsipal hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah dibayar oleh kerajaan.

"Ini palsu kerana kerajaan sudah membayar sebanyak RM8.8 bilion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

"Keduanya, beliau sudah menyebut penjimatan kepada penyelesaian perjanjian berat sebelah pengeluar tenaga bebas (IPP), peninggalan zaman Perdana Menteri keempat yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB mengambil alih IPP ini sudah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Ini adalah palsu," katanya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempengerusikan mesyuarat tersebut memaklumkan bahawa Azhar akan meneliti usul itu sebelum sebarang keputusan dibuat.