KUALA LUMPUR: “Kalau nak buat fitnah, fitnah saya seorang sahajalah. Jangan kaitkan orang lain,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau mengulas mengenai dakwaan yang tersebar di laman Twitter kononnya bernikah dengan penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin.

“Saya orang politik tak apalah kalau kawan-kawan nak fitnah sikit-sikit. Tapi kalau libatkan orang lain kena jaga nama baik, keluarga orang lain.

“Orang yang disebutkan itu setahu saya daripada keluarga yang cukup terhormat. Saya kenal sepenuhnya latar belakang mereka dan sebagainya," kata Annuar dalam video WilayahKu yang dikongsi di laman Facebook beliau malam ini.

BACA: Digosip bernikah dengan Annuar Musa, ini penjelasan Nora

Ahli Parlimen Ketereh itu turut kesal kerana ada pihak sanggup menyebarkan fitnah sedemikian terutama pada bulan Ramadan ketika orang lain sibuk menambah amalan untuk mengejar pahala.

"Kita mengambil iktibar dan mengurangkan perkara mungkar sempena bulan Ramadan. Tambah perkara-perkara kebajikan. Saya pun tak nak marah-marah. Kita elok sabar sahaja," katanya yang mengakui tidak 'sedap hati' dengan penularan fitnah berkenaan.

Terdahulu pada Khamis, Nora yang masyhur dengan lagu Di Persimpangan Dilema tampil menegaskan, laporan berkenaan adalah tidak benar dan tidak masuk akal.

Katanya, beliau tergamam sebaik dimaklumkan anak sulungnya, Muhammad Syakir Iman, mengenai laporan tersebut namun kembali tenang apabila memikirkan sudah banyak fitnah dan gosip pernah dilemparkan kepadanya sepanjang tiga dekad menjadi artis.

Sejak Rabu, tular di Twitter kononnya Nora kini sudah bernikah dengan Annuar sehingga menyebabkan Muhammad Syakir tampil mempertahankan ibunya sekali gus menafikan perkara itu.