JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri warga emas terpaksa menanggung kerugian RM120,000 selepas diperdaya dengan taktik Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Pos Laju, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kedua-dua mangsa berusia 68 tahun yang juga pesara syarikat swasta mendakwa, sindiket itu meminta maklumat akaun bank kononnya untuk membuat siasatan lanjut berhubung satu penghantaran barang, pada jam 3.50 petang.

Katanya, semuanya bermula selepas si suami menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Pos Laju.

"Lelaki itu mendakwa sindiket memaklumkan dia ada menggunakan perkhidmatan Pos Laju untuk penghantaran barang dari Kuala Perlis ke Kuantan.

"Mangsa menafikan hal itu, sebelum sindiket berkenaan memaklumkan ada pihak lain menggunakan nama mangsa.

"Sindiket itu kemudiannya memberitahu panggilan akan disambungkan ke Balai Polis Kuala Perlis untuk siasatan dan meminta mangsa memberikan kerjasama jika tidak mahu dikenakan tindakan oleh polis dari Bukit Aman.

"Suspek kemudian meminta mangsa memberikan maklumat akaun bank milik kedua-duanya yang terdapat wang simpanan, untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sohaimi, pasangan itu kemudian memberikan maklumat akaun bank dan kad ATM kepada suspek.

Katanya mangsa kemudian menceritakan tentang panggilan yang diterima itu kepada ahli keluarga yang lain selepas memberikan maklumat bank kepada sindiket.

"Selepas bercerita kepada ahli keluarga, mangsa kemudian baru menyedari bahawa diri mereka ditipu dan semakan terus dibuat dengan pihak bank mendapati terdapat 15 transaksi pindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun lain keseluruhannya berjumlah RM120,000.

"Pasangan itu kemudian membuat laporan polis semalam dan pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan bagi mengesan pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil ke atas pemilik akaun terbabit," katanya lagi.