Taktik licik dua lelaki tempatan yang memasukkan dadah dalam tong ikan dipercayai untuk diseludup keluar dari negara ini berjaya dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada Rabu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Madya Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata dadah jenis syabu bernilai RM3.45 juta itu dibawa menggunakan bot gentian kaca.

“Dalam kejadian 7.30 pagi itu, suspek yang berusia 27 dan 31 tahun ditahan selepas dikejar selama 15 minit oleh bot ronda Maritim Malaysia Selangor berdekatan Sungai Belankan, perairan Tanjung Rhu, Pelabuhan Klang.

“Tangkapan itu susulan operasi melalui risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah dan bot itu dikesan keluar dari Jeti Nelayan Sungai Belankan dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari kehadiran pasukan ronda Maritim Malaysia, pengemudi bot terus melarikan diri namun bot ronda Maritim berjaya memintas dan menahan kedua suspek,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat sebuah guni putih mengandungi 22 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah seberat 23 kilogram yang disimpan dalam tong ikan.

Siasatan terhadap suspek pula mendapati seorang daripada mereka pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membabitkan kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Tambah beliau, Kedua-dua suspek, bungkusan dadah serta bot terbabit ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.