KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan sebuah badan berkanun negeri ini selepas disyaki menerima wang rasuah RM2,700.

Dalam tangkapan berasingan bermula jam 3.15 petang Rabu, suspek pertama berjaya dicekup di Tuaran manakala suspek kedua ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 8 malam.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 40-an.

Sejumlah wang RM3,500 turut dirampas dipercayai diterima oleh suspek secara rasuah.

Terdahulu, menurut sumber, dua individu berkenaan dipercayai meminta wang tersebut daripada pekerja yang menjalankan kerja pertanian di badan berkanun tersebut sebagai balasan mendapatkan kontrak kerja.

Pengarah SPRM Sabah, S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata, kedua dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan jaminan SPRM.