Seorang lelaki yang mahu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Temerloh berkaitan kesnya yang menghadapi tuduhan menggunakan wang palsu ditahan kerana turut membawa sejumlah wang palsu ke mahkamah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang, Superintendan Azizan Md Isa berkata lelaki berusia 35 tahun itu membawa 24 keping wang kertas palsu bernilai RM100 dan ditahan di perkarangan mahkamah semalam.

"Ciri wang terbabit adalah jelas palsu kerana mempunyai nombor siri yang sama, kualiti kertas yang biasa, warna yang pudar selain gambar Yang di-Pertuan Agong yang kurang jelas," katanya.

Suspek ditahan reman sehingga 3 Ogos manakala tiga lagi rakannya yang berusia 20 hingga 30 tahun yang datang bersamanya turut ditahan.


Beliau berkata, tiga daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau sementara lelaki berkenaan mempunyai 15 rekod berhubung ugutan jenayah, penipuan, samun, tipu dan menggunakan wang palsu.

Azizan berkata pihak polis masih menyiasat sumber wang palsu tersebut sama ada dicetak sendiri oleh suspek atau diperoleh dari sumber lain.

Beliau berkata kes berkaitan wang palsu di negeri ini meningkat kepada 99 kes dari Januari hingga Julai, berbanding 59 kes untuk tempoh yang sama tahun lepas.

"Setakat ini tahun ini, seramai 10 orang ditangkap kerana terbabit dengan wang palsu dengan jumlah wang yang dirampas bernilai RM12,900 berbanding hanya lapan orang ditangkap tahun lepas dan membabitkan RM9,700," katanya.