KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) adalah sebanyak 3.05 peratus untuk tahun 2022.

Kadar tersebut akan memberi manfaat kepada 5.73 juta pendeposit akaun Simpan SSPN membabitkan anggaran peruntukan RM266.17 juta.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, ia bukan sahaja lebih tinggi daripada agihan dividen pada tahun lepas iaitu 3 peratus, malah merupakan kadar dividen yang kompetItif.

“Ia merupakan kadar dividen yang kompetItif kerana lebih tinggi berbanding kadar keuntungan simpanan di akaun semasa dan simpanan tetap di sesetengah bank yang menawarkan kadar faedah keuntungan antara hanya 2.05 peratus hingga 2.75 peratus,” katanya dalam satu majlis di bangunan kementeriannya pada Rabu.

Katanya lagi, jumlah itu menjadikan agihan dividen secara keseluruhannya sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004 adalah bernilai RM1.33 bilion.

Pada masa sama, PTPTN turut mengumumkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 sebanyak satu peratus kepada pendeposit akaun Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan minimum RM500 dalam tempoh promosi bermula 5 April 2023 hingga 31 Julai 2023.

Insentif tersebut juga layak diterima pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada tahun 2004 hingga 31 Disember 2019.

Jelas Mohamed Khaled, untuk tahun 2022, Simpan SSPN menerima deposit berjumlah RM3.36 bilion iaitu 119.93 peratus daripada sasaran RM2.8 bilion, juga peningkatan sebanyak RM350.55 juta atau 11.66 peratus berbanding tahun 2021 pada RM3.01 bilion.

Keuntungan pelaburan deposit Simpan SSPN bagi tahun 2022 pula berjumlah RM321.65 juta.

"Dari segi pembukaan akaun baharu, sebanyak 491,984 akaun dibuka pada 2022 berbanding sasaran sebanyak 400,000 akaun," katanya.

Sempena musim perayaan Aidilfitri ini, pendeposit berpeluang menyertai Kempen Cabutan WOW! Syoknya Raya yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 yang bermula pada 1 Mac tempoh hari hingga 31 Mei ini.

Pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing secara dalam talian di portal rasmi PTPTN atau aplikasi myPTPTN mulai 6 April 2023.

Dividen 3.05 peratus, ganjaran kesetiaan 1 peratus