Skip to main content

Malaysia

DKU isytihar pengumuman 19 April tidak sah, muktamadkan kedudukan tiga Undang

Sumber: MALAY ROYAL TOWN: SERI MENANTI
Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan mengisytiharkan pengumuman bertarikh 19 April 2026 tidak sah serta mengesahkan kedudukan terkini jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Rembau dan Jelebu.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan mengisytiharkan pengumuman bertarikh 19 April 2026 sebagai tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan perundangan, selain mengesahkan kedudukan semasa beberapa jawatan utama dalam institusi adat negeri itu.

Menerusi perutusan rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu, DKU memaklumkan, keputusan itu dibuat dalam persidangan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada 31 Julai lalu (Jumaat). 

Berdasarkan perutusan tersebut, DKU turut menerima dan mengiktiraf pelantikan Dato' Klana Petra Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong serta Dato' Sedia Raja Haji Hassan Ab Hamid sebagai Undang Luak Rembau selepas kedua-duanya melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang pada 27 Jun 2026.

Dalam perkembangan sama, DKU memutuskan, jawatan Undang Luak Jelebu adalah kosong susulan penerimaan keputusan waris yang memecat penyandangnya, Datuk Maarof Mat Rashad. 

Menurut DKU, pemecatan itu berkuat kuasa pada 31 Mei 2023 atas kesalahan berkaitan adat yang telah dihuraikan kepada persidangan tersebut.

DKU turut menyatakan bahawa segala tindakan yang dibuat oleh Maarof selepas tarikh tersebut hendaklah dianggap tidak sah.

Perutusan itu juga menyebut bahawa dokumen bertarikh 19 April 2026 yang menjadi perhatian umum sebelum ini didapati bercanggah dengan Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, sekali gus disifatkan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai apa-apa kesan di sisi undang-undang.

Pengumuman 19 April lalu tercetus ketika kemuncak krisis melibatkan institusi adat Negeri Sembilan apabila satu pengisytiharan dibuat berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. 

Bagaimanapun, kerajaan negeri ketika itu menegaskan tindakan berkenaan tidak boleh diterima kerana salah seorang individu yang terlibat telah pun diberhentikan daripada jawatan Undang Luak Sungei Ujong melalui proses yang diterima oleh DKU beberapa hari sebelumnya.

Dalam keputusan terbaharunya, DKU turut memutuskan, Mubarak Thahak, Abdul Rahim Yasin dan Datuk Maarof Mat Rashad masing-masing telah terhenti daripada memegang atau tidak pernah secara sah memegang jawatan Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Jelebu.

Menurut DKU, ketiga-tiga individu berkenaan tidak mempunyai kuasa di sisi undang-undang untuk melaksanakan fungsi yang diperuntukkan di bawah Perkara X Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Keputusan terbaharu itu dilihat sebagai perkembangan penting dalam siri pertikaian yang bermula sejak April lalu, khususnya membabitkan kesahan beberapa jawatan adat utama serta kuasa yang berkaitan dengannya dalam struktur Adat Perpatih dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Kerajaan Negeri Sembilan dalam perutusan berkenaan turut diarahkan mengambil tindakan sewajarnya bagi melaksanakan keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui DKU.

Must Watch Video

Advertisement