KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan (DOF) akan memastikan import ikan marin (hidup) bebas daripada kandungan cemaran radionuklid dengan setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuat kuasa.

DOF dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua pengimport konsainan ikan hidup juga perlu memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan mematuhi syarat-syarat permit import yang telah dinyatakan oleh DOF.

Usaha itu sebagai langkah kawalan susulan pemakluman pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima secara berperingkat bermula 24 Ogos lepas oleh pihak berkuasa Jepun.

"Pihak DOF juga mengingatkan semua pengimport produk hasilan perikanan Jepun supaya mematuhi peraturan import dan prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dalam negara bagi memastikan makanan yang diimport adalah selamat.

"Setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan oleh pihak berkuasa Jepun," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan 23 Ogos lepas memaklumkan akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (Pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

Menurut DOF, Malaysia mengimport hasilan perikanan dari Jepun bagi tujuan makanan secara sejuk beku iaitu produk ikan sardin dan ikan mackerel, manakala bagi ikan hidup pula hanya melibatkan ikan hiasan (air tawar) sahaja seperti Koi Carp (Cyprinus carpio) dan bukan ikan marin.

DOF memaklumkan pihaknya mengambil serius terhadap pemakluman itu dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui DOF, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Maqis akan memberikan kerjasama kepada KKM bagi memastikan hasil perikanan di pasaran bebas bahan pencemar.

"KPKM melalui jabatan atau agensi sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) pemantauan dilaksanakan sebaik mungkin secara berterusan dan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan keselamatan makanan dan keterjaminan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA