Tetapi entah mengapa, apabila berbincang soal takrifan kerja seorang doktor, kita tiba-tiba lupa bahawa doktor juga merupakan seorang pekerja dan juga manusia. Selain mempunyai hak-hak sebagai pekerja yang disebutkan di atas, mereka juga mempunyai kehidupan sebagai manusia untuk dijalankan yang melibatkan keseimbangan antara pekerjaan dan sosial dan juga keperluan mereka untuk berinteraksi dan berfungsi kepada keluarga mereka sendiri.
Sebaliknya, ada pihak yang melihat seolah-olah doktor-doktor baharu generasi Y ini terlalu manja dan tidak tahan cabaran berbanding cabaran mereka dahulu apabila teknologi dan fasiliti jauh lebih terhad.
Apabila melihat aspek pertama iaitu kerja lebih masa contohnya, sememangnya benar sepatutnya seseorang itu perlu menyelesaikan kerjanya pada masa yang ditetapkan. Contohnya, setiap hari sebelum pusingan (round) pesakit di wad dijalankan setiap pagi, mahu tidah mahu doktor-doktor perlu terlebih dahulu mengambil sejarah (history) pesakit-pesakit ini, mengetahui perkembangan mereka, dan rawatan dan pengurusan (treatment and management) pesakit yang relevan.
Memandangkan pusingan ini lazimnya berlaku sama ada sebelum atau pada awal waktu bekerja mereka (contohnya sebelum jam lapan pagi), mahu tidak mahu doktor-doktor perlu hadir di tempat kerja lebih awal untuk tujuan pusingan wad ini. Hal ini memastikan maklumat dan perkembangan terkini pesakit sudah pun diketahui sebaik-baik sahaja shif mereka bermula.
Hal ini juga seterusnya bermakna mereka perlu hadir lebih awal lagi daripada pusingan tersebut dengan tujuan mengambil sejarah dan mengetahui perkembangan pesakit di wad.
Maka tidak peliklah untuk waktu kerja jam lapan pagi, para doktor lazimnya akan berada di hospital lebih awal, sekurang-kurangnya seawal jam lima pagi, agar matlamat tersebut dicapai.
Selain itu, jika ada banyak lagi tugasan lain yang perlu disiapkan selepas tamat waktu kerja mereka pada jam lima contohnya. Hal ini bermakna mereka perlu berada di tempat kerja lebih lama agar kerja mereka, yang kebanyakannya berkaitan pesakit, dapat disiapkan sebelum mereka pulang ke rumah.
Hal ini sememangnya benar dan ada wajarnya kerana mahu tidak mahu, kerja seorang doktor perubatan itu akhirnya adalah untuk berkhidmat pada pesakit dan pelanggan. Mereka adalah keutamaan dan kemalasan dan keinginan hidup selesa tidak boleh bermaksud mengabaikan hak pesakit dan pelanggan untuk mendapat layanan terbaik.
Sungguhpun begitu, jika pelanggan berhak mendapat layanan terbaik, mengapa tidak buruh, juga pelanggan kepada majikan, mendapat layanan yang sekurang-kurangnya setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan?
Apabila seorang pekerja pusat asuhan atau nurseri terpaksa kerja lebih masa kerana penjaga anak-anak tersebut belum mengambil mereka, penjaga-penjaga tersebut perlu membayar lebih kepada pusat asuhan itu. Pekerja itu pula perlu ditunaikan elaun lebih masanya. Begitulah apabila ditakrifkan tempoh waktu kerja harian untuk gaji minimum bulanan yang ditetapkan oleh undang-undang; apabila seseorang majikan mahu menetapkan shif yang lebih daripada yang ditetapkan undang-undang, setiap jam yang melebihi tempoh jam maksimum harian untuk gaji minimum bulanan tersebut perlu dikira sebagai jam untuk elaun kerja lebih masa.
Namun mengapa apabila membincangkan tentang skop pekerjaan seorang doktor, ironinya kita lupa menbincangkan hal ini dalam skop buruh. Lihatlah dunia, betapa eksklusifnya doktor-doktor perubatan ini sehingga membincangkan mereka sebagai buruh pun tak boleh!
Selain itu, ada juga sesetengah pihak yang selalu membandingkan doktor dahulu itu tabah manakala doktor masa kini lebih manja kerena berbanding doktor hari ini, mereka dahulu perlu menjaga (cover) lebih ramai pesakit per doktor di wad tetapi doktor hari ini pula yang mengeluh lebih-lebih.
Hal ini juga satu masalah dengan cara pemikiran kita. Mengapa kita fokus lebih-lebih pada “betapa manjanya doktor hari ini” berbanding kualiti perkhidmatan yang boleh ditawarkan kepada pesakit dan pelanggan apabila nisbah doktor kepada pesakit menjadi lebih besar?
Tidak terhad kepada kualiti perkhidmatan, akhirnya kualiti hidup seorang doktor itu juga akan menjadi lebih baik apabila akhirnya, dengan doktor yang mencukupi secara demografi, mereka dapat mengurangkan keperluan mereka untuk berada di tempat kerja mereka sesudah waktu kerja formal tamat. Mereka sebagai individu dan manusia dapat meraih lebih makna kehidupan mereka dari segi wujudnya waktu mereka sendiri mahupun waktu mereka bersama rakan-rakan dan keluarga.
Kepuasan yang lahir daripada keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan sosial dan tak perlu dinyatakan lagi, waktu rehat yang cukup, akan menambah lagi semangat mereka sebagai individu untuk memberi perkhidmatan dan kualiti kerja terbaik di tempat kerja mereka sebagaimana kita membincangkan betapa pentingnya aspek ini untuk buruh-buruh dan pekerja lain.
Tetapi sayangnya, dengan kematian doktor pelatih dalam kemalangan ketika jalan pulang selepas shif berjam-jam, ramai doktor pelatih (house officers) keluar latihan (http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2015/03/30/one-in-five-doctors-quit-housemanship/), dan rekod Malaysia sebagai negara yang mempunyai doktor sebagai pekerja yang tidak gembira dengan kerjanya (http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/survey-doctors-lawyers-engineers-are-malaysias-unhappiest-workers), kita masih tidak muhasabah dan merenung masalah-masalah seperti ini dan sebaliknya menuding jari kepada kepada yang mengeluh dan mengadu.
Sedangkan syarikat besar dan majikan korporat juga kini diseru untuk mempertimbang faktor kepuasan pekerjanya (http://says.com/my/news/malaysian-youths-feel-suicidal-about-their-jobs), mengapa doktor juga tidak dibincangkan soal yang sama?
Bukan sahaja mengabaikan faktor doktor sebagai pekerja dan manusia ini dilihat hipokrit dan bersifat prejudis, hal ini justeru mampu menyebabkan penurunan kualiti perkhidmatan kesihatan kerana akhirnya, mereka jugalah yang kita jumpa apabila jatuh sakit atau tertekan.
Jika mereka sendiri tertekan dan lebih teruk, punya masalah mental, bagaimana pula mungkin mereka mampu membantu kita?
Jika kita mahu Malaysia tidak lagi diiktiraf dunia perkhidmatan kesihatannya kepada orang awam, maka teruslah menuding jadi dan salahkanlah lagi doktor-doktor ini seolah-oleh mereka itu doktor dan hanya doktor, tidak lain selain doktor.
* Wan Salman adalah pembaca astroawani.com dan boleh dihubungi di Twitter @wsalmanwsallam
* *Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Astro AWANI.