JEMPOL: Seorang doktor sebuah klinik swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau pada Selasa atas pertuduhan mencabul pekerjanya, bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Amin Razaly, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah mencabul mangsa iaitu seorang wanita berusia 25 tahun pada 19 Februari lalu kira-kira jam 10.30 malam di bilik rehat sebuah klinik di Bandar Baru Serting.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan penjara boleh sampai 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dan keluarganya dilarang berhubung dan mengganggu mangsa sehingga perbicaraan kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam. - Sinar Harian