SHAH ALAM : Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyokong usaha mengajar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi selagi ia hanya diperkenalkan di peringkat sekolah agama Islam dan tidak sesekali diperluaskan kepada pelajar bukan Islam.

Presiden parti Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, kenyataan awal daripada pihak yang berkenaan mengenai perkara itu adalah terlalu makro sekali gus mewujudkan kegelisahan orang ramai terutamanya kepada ibu bapa dan pelajar bukan Islam.

Katanya, masalah yang sering dihadapi di bawah kerajaan hari ini adalah mereka gagal dalam proses penerangan dan sering menimbulkan kegelisahan kepada orang ramai.

"Saya percaya bahawa setiap elemen kerohanian dan keagamaan perlu diterapkan dalam silibus pendidikan, perkara itu jelas. Apa yang penting adalah proses penerangan berkenaan dengan pendekatan tersebut.

"Cuma diharapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpegang kepada kenyataan menterinya dan memberi jaminan tidak memperluaskan modul ini kepada pelajar bukan Islam," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

KPM dalam kenyataan memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.

Pelaksanaan modul itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.

Tambah Dominic, sebagai rakyat berbilang kaum dan agama, semua pihak perlu memahami konteks kesederhanaan dan menghormati pendekatan keagamaan masing-masing.

"Selagi sesebuah pengajian tidak menimbulkan kesulitan kepada yang lain, tidak salah mereka (yang Islam) menghayati asas kesucian menghimpunkan panduan kehidupan dan dipercayai membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam lebih baik.

"Saya berharap KPM akan mendekati pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dengan penerangan perancangan, impak dan perjalanannya," jelasnya. - Sinar Harian